IPOH: Polis menahan 18 lelaki warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Isnin lalu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah apartmen di Laluan Ipoh Permai 3, Apartment Ipoh Hill Permai yang membawa kepada penahanan 10 suspek.
Katanya, serbuan kedua yang dijalankan di sebuah rumah di Laluan Tasek Timur 5, Taman Tasek Indra pula berjaya menahan lapan lagi lelaki warga asing.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis itu membawa kepada rampasan pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM78,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, analisis awal terhadap peranti yang dirampas mendapati ia disyaki digunakan untuk mengendalikan aktiviti penipuan melibatkan penggunaan instrumen kewangan dan akaun bank milik pihak lain.
Katanya, kesemua suspek berusia 26 hingga 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Semua suspek bersama barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi berkata, polis memandang serius kegiatan penipuan dalam talian melibatkan penggunaan teknologi dan penyalahgunaan akaun kewangan pihak lain bagi memperdaya mangsa.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap urusan dalam talian yang mencurigakan, tidak mudah mempercayai tawaran pulangan lumayan dan tidak menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dapat disahkan.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah komersial boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – UTUSAN










