KUALA LUMPUR: Laporan lengkap siasatan kes letupan bom di Kem Horbart, Kedah yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TD) akan diperoleh pada 23 Julai ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, punca sebenar kejadian masih terlalu awal untuk ditentukan sebelum siasatan selesai sepenuhnya.
Katanya, laporan awal daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai mendapati terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi bagi mengukuhkan siasatan.
“Kementerian telah menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai 2026, namun hasil semakan Markas Tentera Darat mendapati masih terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi dan kemungkinan mendapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan.
“Justeru, laporan yang lebih lengkap dijangka diterima oleh Kementerian Pertahanan daripada Markas Tentera Darat pada 23 Julai 2026,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkenaaan punca insiden letupan bom tangan tersebut serta langkah segera Kementerian bagi memastikan prosedur operasi standard keselamatan latihan diperkasa serta kejadian sama tidak berulang.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, sebagai langkah segera susulan insiden itu, TD telah melaksanakan Pemeriksaan Khas (Special Inspection) secara menyeluruh ke atas semua baki grenad dalam pegangan 1 SKN RAJD bagi memastikan tiada sebarang kerosakan.
Pada masa yang sama, Panglima Tentera Darat turut mengarahkan semua latihan membaling grenad dihentikan buat semantara waktu sehingga siasatan selesai.
Untuk rekod, pada 16 Jun lalu, seramai dua anggota TDM maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart.
Selang dua minggu kemudian, satu lagi insiden berlaku pada 29 Jun sehingga menyebabkan dua anggota tentera cedera di bahagian kaki ketika menjalani latihan menembak di kem sama.
Mohamed Khaled berkata, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, TDM akan memastikan pengukuhan aspek keselamatan latihan melalui beberapa langkah penambahbaikan berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan.
Antaranya, meningkatkan pemantauan latihan dengan pemasangan CCTV di kawasan lapang sasar, penggunaan kamera badan (body camera) bagi tujuan pemantauan dan cermin pemerhati di Menara Kawalan.
“Kedua, mencadangkan penggunaan Eco-Friendly Training Hand Grenade (EFTHG) bagi latihan kering yang menyerupai grenad sebenar untuk memberi pendedahan awal dan pengalaman kepada anggota sebelum menggunakan grenad hidup.
“Ketiga, mewujudkan Casting Policy bagi peluru dan bahan letupan untuk menetapkan jangka hayat penggunaan serta memastikan peluru dan bahan letupan yang telah mencapai tempoh tersebut menjalani pemeriksaan khas secara terperinci dan berkala bagi mengesahkan kebolehgunaannya.
“Keempat, setiap pasukan juga akan dipastikan melaksanakan penilaian kesihatan fizikal dan kesediaan mental semua pegawai serta anggota sebelum menyertai latihan, khususnya mereka yang mempunyai rekod kesihatan yang memerlukan pemantauan,” katanya. – UTUSAN










