HULU TERENGGANU: Mayat seorang bayi lelaki ditemukan di dalam tangki pam tandas wanita Masjid Kampung Pasir Simpul, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mayat bayi berkenaan dijumpai pekerja pembersihan yang ketika itu membuat kerja-kerja mencuci tandas tersebut kira-kira pukul 7 malam.
Menurutnya, terdahulu pekerja pembersihan berkenaan terhidu bau busuk dan kemudiannya mencari punca dan memasuki tandas tersebut.
“Apabila penutup pam dibuka, pekerja kebersihan tersebut ternampak tangan bayi. Hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah cukup sifat dan telah mereput.
“Laporan hasil bedah siasat mendapati bayi lelaki itu telah meninggal lebih daripada tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan saspek masih dikesan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Simpul, Muhammad Mustaffa berkata, dia dimaklumkan penemuan mayat bayi itu oleh petugas kebersihan, Junaidi Sulaiman, 40-an yang hubunginya melalui panggilan telefon.
“Sejurus dimaklumkan, saya ke lokasi kejadian. Melalui perbualan dengan Junaidi, selain didapati pam tandas tersumbat dia juga terhidu bau busuk ketika sedang mencuci tandas.
“Melihat air keluar berwarna gelap dan tidak seperti biasa selepas dipam, dia sangka pam tandas tersumbat. Junaidi kemudiannya bertindak cungkil takung pam berkenaan dan tiba-tiba terkeluar tangan mayat bayi tersebut,” katamya.
“Terkejut dengan kejadian itu, Junaidi kemudiannya hubungi saya dan pengerusi masjid sebelum kami hubungi polis,” ujarnya.
Katanya lagi, kejadian tersebut merupakan kejadian pertama berlaku di masjid berkenaan dan mengejutkan komuniti di kampung itu. – UTUSAN










