HULU SELANGOR: DAP memberi fokus untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei ini dan tidak ada masa untuk memujuk mana-mana parti yang bermasam muka dengan parti tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, soal pilihan raya adalah tentang rakyat dan bukannya parti jadi tidak ada keperluan untuk memujuk mana-mana parti.
Menurut beliau, pihaknya lebih ingin memujuk pengundi bagi memastikan kemenangan PRK Kuala Kubu Bharu berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dan sekali gus mengekalkan DUN tersebut di bawah DAP.
“(Apa) yang paling penting (adalah) kita pujuk pengundi, bukan mana-mana parti. Jadi yang mana datang membantu kita amat hargai dan (bagi) tidak membantu itu kita tidak memaksa, tiada masalah.
“Kalau dia rasa tidak sanggup nak membantu, itu hak dia. Saya tidak perlu gaduh dalam bab ini. Apa paling penting untuk kita adalah pengundi sebab pilihan raya ini bukan soal parti tetapi pengundi,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Anthony yang juga merupakan Menteri Pengangkutan itu berkata demikian selepas mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, MCA kekal dengan pendirian untuk tidak membantu DAP sepanjang kempen PRK Kuala Kubu Baharu selepas parti itu diumumkan akan mewakili Kerajaan Perpaduan.
Ekoran itu, Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ir. Lawrence Low berkata,undi pengundi Cina dijangka berpecah dua berikutan kenyataan Anthony yang didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pengundi MCA.
Jelasnya, ia disuarakan ahli akar umbi yang dikatakan enggan memberi undi kepada calon DAP.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Kerajaan Perpaduan ingin mempertahankan kerusi Kuala Kubu Bharu yang menjadi satu-satunya kerusi DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH).
“Kawasan ini sudah pasti kita nak meyakinkan kepada pengundi bahawa alangkah lebih baik wakil kerajaan kekal di DUN ini supaya memberikan pelbagai pembangunan di kawasan ini.
“Susah tentu ia (juga) untuk menstabilkan kedudukan dan juga memperkukuhkan kerajaan negeri. Rakyat Selangor pun tahu bahawa kerajaan negeri di bawah PH sebelum ini dan Kerajaan Perpaduan ketika ini sudah pun berjaya meningkatkan tahap sosioekonomi., pelaburan yang agak banyak hingga memberi banyak peluang pekerjaan,” jelasnya.- UTUSAN










