Malaysia, Indonesia terus perkukuh kerjasama pertahanan

Malaysia, Indonesia terus perkukuh kerjasama pertahanan

MOHAMED Khaled Nordin menandatangani buku lawatan sempena kunjungan beliau ke Kementerian Pertahanan Indonesia di Jakarta sambil disaksikan oleh Prabowo Subianto.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerjasama menerusi bidang pertahanan antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh, sekali gus berupaya mengukuhkan benteng keselamatan antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

Pengukuhan kerjasama itu dibuat menerusi kunjungan hormat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada rakan sejawatnya, Prabowo Subianto di Kompleks Bangunan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ini merupakan lawatan kerja rasmi pertama Mohamed Khaled kepada Prabowo yang juga Presiden Terpilih Indonesia selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 12 Disember 2023 yang lalu.

Ketibaan Mohamed Khaled pada pukul 11 pagi waktu tempatan diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia, Muhammad Herindra.

Mohamed Khaled bersama Muhammad Herindra seterusnya memeriksa Jajar Kehormatan sebelum pertemuan empat mata secara tertutup bersama Prabowo selama kira-kira dua jam.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia Ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin selain Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Atase Pertahanan, Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply dan Ketua Pengarah Malaysian Defence Intelligence Organisation, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Razali Alias.

Menurut Mohamed Khaled, menerusi pertemuan itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk memastikan hubungan dua hala antara kedua negara khususnya dalam sektor pertahanan dan keselamatan kekal diteruskan.

“Kita akan pastikan untuk terus memelihara hubungan yang rapat dan akrab antara kedua-dua negara selain memastikan wujud jalinan istimewa dalam aspek pertahanan.

“Ini bermakna,usaha selama ini yang kita lakukan seperti Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee) akan dijayakan bersama memandangkan ia antara platform yang membantu memelihara dan mengekalkan hubungan baik kedua negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Prabowo hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, fokus pertemuan turut memberi tumpuan kepada aspek menangani cabaran serantau selain mempromosi kestabilan di rantau ASEAN.

“Kita akan terus mendukung ASEAN sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali. Dalam konteks ini, kita percaya segala cabaran yang wujud adalah penting untuk ASEAN terus bergerak maju.

“Jadi, dalam menangani segala cabaran, kita berbincang dan bersetuju memastikan kepusatan ASEAN sebagai panduan untuk mengemudi masa depan rantau ini,” jelasnya.

Katanya, Indonesia turut menzahirkan harapan supaya Malaysia terus kuat dan maju, seterusnya mengekalkan ASEAN sebagai kawasan selamat dan stabil di rantau ini.

“Kita banyak berbincang mengenai soal ini selain bersetuju dan menerima hakikat bahawa pentingnya untuk meningkatkan hubungan ketenteraan antara kedua negara.

“Ia juga berasaskan kepada perjanjian kerjasama dalam pertahanan yang pernah ditandatangani oleh kedua negara pada 2022 iaitu mahu mengadakan kerjasama dalam bidang perisikan,” jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua negara juga bersetuju memberi tumpuan kepada bidang sains dan teknologi dalam sektor pertahanan selain memfokuskan kepada kerja-kerja teknologi kecerdasan.

Katanya, menerusi sains dan teknologi selain kerjasama ketenteraan, kedua-dua pemimpin akan memberi perhatian kepada soal keselamatan siber serta terorisma melibatkan Malaysia serta Indonesia.

Terdahulu, menerusi lawatan kerja rasmi itu, Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan ke salah satu anak syarikat Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) iaitu PT Millennium Pharmacon International Tbk di Bogor.

Pharmaniaga yang turut memiliki PT Errita Pharma di Indonesia merupakan antara entiti penting kepada Kementerian Pertahanan berikutan dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Susulan itu, Mohamed Khaled memberitahu, LTAT dijangka menerima pulangan lebih positif kelak sekiranya Pharmaniaga terus mengukuhkan pengeluaran farmaseutikal di Indonesia menerusi dua syarikatnya.

Selain itu, dalam lawatan berkenaan, Mohamed Khaled turut meluangkan masa bertemu dengan diaspora Malaysia dan meraikan mereka dalam satu majlis makan malam di Jakarta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN