PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuhkan kerjasama keselamatan antarabangsanya serta menyampai pendirian pertahanan dalam Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026 yang berlangsung di Singapura dari 29 Mei dan berakhir semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyertaan Malaysia dalam persidangan keselamatan paling berprestij di rantau Asia Pasifik itu berjaya menghasilkan beberapa pencapaian signifikan termasuk pengukuhan hubungan pertahanan dengan lebih 10 negara rakan.
Menurutnya, Malaysia turut menyertai inisiatif keselamatan infrastruktur bawah laut bersama 16 negara selain meneroka peluang kerjasama industri pertahanan yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan keupayaan pertahanan negara.
“Sepanjang persidangan, saya mengadakan siri pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dan pegawai kanan pertahanan dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali, Kanada, Australia, New Zealand, Norway, Republik Czech, Qatar,
Singapura dan Thailand.
“Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, meningkatkan perkongsian maklumat strategik termasuk Maritime Domain Awareness (MDA), serta mempererat koordinasi dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia juga memanfaatkan platform berkenaan untuk meneroka peluang kerjasama industri pertahanan menerusi pertemuan dengan Embraer Defense & Security.
“Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama yang menyokong pembangunan keupayaan pertahanan negara, pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem industri pertahanan tempatan,” katanya.
Tambahnya, pencapaian penting Malaysia pada persidangan itu ialah penyertaan dalam pelancaran Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchanges (GUIDE) bersama 16 negara lain.
“Penglibatan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur bawah laut kritikal
yang menjadi tunjang kepada keselamatan, ekonomi dan kesalinghubungan global.
Dalam sesi pleno kelima bertajuk Managing Regional Tensions amid Global Competition, beliau berkata, dunia kini berdepan ketegangan yang semakin bersifat global, saling berkait dan tidak menentu.
Katanya, asas kepada keamanan seperti kepercayaan, kebolehpercayaan dan sikap saling menghormati semakin terhakis sehingga menjadi punca kepada peningkatan konflik serta ketegangan di pelbagai rantau.
“Selama beberapa dekad negara negara dunia diminta mempercayai undang-undang antarabangsa, multilateralisme dan kewajipan kontrak, namun prinsip tersebut semakin diketepikan apabila tidak selari dengan kepentingan geopolitik pihak tertentu.
“Perjanjian, prinsip kemanusiaan dan komitmen antarabangsa kini sering ditafsir secara terpilih. Akibatnya, kepercayaan tidak lagi bersifat sejagat, sebaliknya menjadi bersyarat, selektif dan semakin bersifat transaksional,” katanya.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Norway membatalkan eksport sistem peluru berpandu
Naval Strike Missile yang sepatutnya dibekalkan kepada Malaysia.
“Tindakan tersebut bukan sekadar mewujudkan pertikaian kontrak dua hala, malah menimbulkan persoalan sama ada perjanjian antarabangsa dan perkongsian strategik masih boleh dipercayai.
“Situasi ini turut memperlihatkan bagaimana undang-undang antarabangsa sering dilaksanakan secara tidak seimbang apabila negara membangun berdepan tekanan jika melanggar perjanjian, manakala tindakan serupa oleh negara berkuasa atau sekutunya menerima reaksi yang jauh lebih lemah,” katanya.
Dalam masa sama, Khaled berkata, Asia Tenggara kini berdepan tekanan yang semakin meningkat akibat persaingan geopolitik, perpecahan geoekonomi, persaingan teknologi dan paksaan strategik oleh kuasa-kuasa besar.
Menurut beliau, negara negara di rantau ini semakin terdedah kepada tekanan untuk memilih pihak dan menyesuaikan kedudukan strategik masing masing mengikut kepentingan kuasa besar.
“Tetapi ASEAN tidak dibina atas dasar paksaan, dominasi atau politik transaksional.
“ASEAN dibina berasaskan dialog, konsensus, saling menghormati dan tanggungjawab kolektif terhadap kestabilan
serantau,” katanya – UTUSAN










