Malaysia tetap tuntut pampasan dari Norway

Malaysia tetap tuntut pampasan dari Norway

MOHAMED Khaled Nordin bergambar bersama sebahagian penerima anugerah yang hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2026 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) memohon mengadakan perbincangan berhubung tuntutan Malaysia berkaitan pembatalan kontrak perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM), baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, Kementerian Pertahanan tetap meneruskan tuntutan berhubung kegagalan syarikat tersebut memenuhi kontrak berkenaan.

“Kita memang ada terima permintaan daripada syarikat untuk berbincang. Tetapi bincang apa pun, tuntutan (ganti rugi) kita masih berjalan.

“Kita (Mindef dan KDA) masih belum berjumpa lagi dan setakat ini kita tidak tahu apa yang mereka hendak bincangkan, tapi kita ada terima surat daripada mereka,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, MINDEF menghantar notis tuntutan berjumlah kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan berkenaan susulan pembatalan kontrak perolehan NSM.

Malaysia dilaporkan akan menggunakan saluran diplomatik berhubung pembatalan kontrak perolehan tersebut selepas perubahan dasar kerajaan Norway berkaitan eksport senjata.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pembatalan itu dimaklumkan oleh wakil KDA ketika Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, baru-baru ini.

Kata Mohamed Khaled, kerajaan telah membuat pembayaran kira-kira 95 peratus bagi dua kontrak utama iaitu kapal misi pesisir (LCS) serta frigat Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat yang bernilai lebih RM600 juta.

Sementara itu katanya, pembinaan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 kekal berjalan mengikut jadual dengan ketiga-tiga kapal dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelang penghujung tahun depan.

Perkembangan itu membuktikan kemajuan projek berkenaan berada pada landasan yang ditetapkan sejak kontraknya dimeterai pada 2024.

“Kita sangat bersyukur ke­rana sejak ditandatangani pada 2024, kemajuan pembinaan kapal-kapal itu mengikut jadual.

“Ahad lalu, kapal kedua LMS kita juga telah dilancarkan dan diberikan nama,” katanya.

Kapal pertama LMS Batch 2 dijangka diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2027 diikuti kapal kedua pada November dan kapal ketiga pada Disember tahun yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN