Malaysia sedia teroka kerjasama baharu Visi 2030 Arab Saudi

Malaysia sedia teroka kerjasama baharu Visi 2030 Arab Saudi

ANWAR Ibrahim bertemu Putera Mohammed Salman dalam kunjungan ke Istana Yamamah di Riyadh . - FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Malaysia bersedia meneroka ruang kerjasama baharu dalam Visi 2030 Arab Saudi terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen selain melibatkan projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI) serta aeroangkasa.

Visi 2030 adalah pelan transformasi utama Arab Saudi antaranya meliputi sektor utama termasuk perdagangan, pendidikan, kemampanan, khidmat kewangan dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara semasa pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

“Saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa.

“Saya maklumkan Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan, termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-GCC-China,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu Putera Mahkota Arab Saudi sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Kunjungan tersebut menutup lawatan beliau ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sejak  kelmarin.

Anwar berkata, perbincangan turut menyentuh soal hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi serta isu-isu serantau.

“Saya menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan yang dipamerkan Kerajaan Arab Saudi terkait urusan hal ehwal umat Islam, termasuk dalam konflik Palestin-Israel.

“Saya lontarkan pandangan betapa seluruh negara Arab dan negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada dan tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun.

“Di samping terus memperjuang hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang memperuntukkan kuota haji untuk Malaysia.

“Penghargaan turut saya berikan kepada Kerajaan Arab Saudi yang bermurah hati memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Malaysia tahun ini,” ujarnya.

Beliau juga mengulangi jemputan buat Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuh lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×