KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik aplikasi sosial yang mengaku bersalah membuat hantaran bersifat jelik melibatkan isu penjualan stoking kalimah Allah, bulan lalu.
Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Chiok Wai Loong untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukumnya selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan itu pada 22 Mac lalu.
Beliau turut mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen serta merta agar pertuduhan sama dibacakan di hadapan hakim berlainan.
“Mahkamah membatalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dan memerintahkan kes dihantar semula di hadapan hakim berlainan agar pengakuan direkodkan semula,” katanya ketika membacakan penghakimannya.
Mengikut pertuduhan, Wai Long didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan nama profil `Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac 2024.
Hantaran itu kemudian telah dibaca dan dilihat pada hari yang sama pukul 3.00 pagi di daerah Brickfields di sini. – UTUSAN










