Toyota bZ4X, Langkah baharu Toyota ke era elektrik

Toyota bZ4X, Langkah baharu Toyota ke era elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keadaan pasaran yang semakin kompetitif ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa Toyota, sebuah pengeluar yang terkenal sebagai peneraju teknologi elektrifikasi menerusi model hibrid sejak lebih dua dekad lalu, dilihat agak lambat memperkenalkan EV sepenuhnya.

Hakikatnya, Toyota mempunyai falsafah yang sedikit berbeza berbanding kebanyakan pengeluar lain.

Ketika ramai jenama berlumba-lumba menghasilkan EV sepenuhnya, Toyota masih percaya bahawa dunia memerlukan pendekatan pelbagai teknologi atau Multi-Pathway. 

Bagi syarikat dari Jepun itu, masa depan mobiliti tidak hanya bergantung kepada satu jenis teknologi semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV), hidrogen (FCEV) dan juga EV, bergantung kepada keperluan setiap negara serta pengguna.

Sebab itulah Toyota tidak tergesa-gesa menghasilkan EV pertamanya. Mereka memilih untuk mengambil masa membangunkan sebuah platform khas dikenali sebagai e-TNGA, iaitu platform yang direka khusus untuk kenderaan elektrik dan dibangunkan bersama Subaru. 

Hasil kerjasama tersebut lahirlah Toyota bZ4X, manakala Subaru pula memperkenalkan model kembarnya yang dikenali sebagai Solterra.

Nama bZ pula membawa maksud “Beyond Zero”, iaitu falsafah Toyota yang bukan sekadar mahu menghasilkan kenderaan tanpa pelepasan karbon, malah mahu memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pengguna melalui aspek keselamatan, kebolehpercayaan, keselesaan serta kualiti pembinaan yang menjadi identiti Toyota sejak sekian lama.

Di Malaysia, Toyota bZ4X menjadi model EV pertama yang dipasarkan secara rasmi oleh UMW Toyota Motor. Kehadirannya kemudian disusuli oleh Urban Cruiser EV dan Hilux EV, sekali gus memperlihatkan kesungguhan Toyota dalam memperluaskan portfolio elektrifikasi mereka di pasaran tempatan.

Persoalannya, selepas sekian lama menunggu, adakah Toyota benar-benar berjaya menghasilkan sebuah EV yang mampu bersaing dengan pesaing moden yang hadir dengan pelbagai teknologi canggih?

Penulis berpeluang meluangkan beberapa hari bersama Toyota bZ4X untuk mencari sendiri jawapan kepada persoalan tersebut.

Rekaan luaran futuristik, tetapi tidak berlebihan

Perkara pertama yang menarik perhatian penulis sudah tentu ialah reka bentuk luarannya.

Pada pandangan pertama, Toyota bZ4X sememangnya kelihatan sangat berbeza daripada mana-mana SUV Toyota yang pernah dijual sebelum ini. 

Jika Corolla Cross, RAV4 mahupun Harrier masih membawa identiti SUV konvensional, bZ4X pula tampil dengan karakter yang jauh lebih moden seolah-olah sebuah kereta konsep yang dibawa terus ke jalan raya.

Bahagian hadapan menggunakan identiti rekaan “hammerhead” yang kini semakin sinonim dengan keluarga EV Toyota. 

Lampu utama LED yang nipis digabungkan bersama bahagian bonet yang rendah menjadikan keseluruhan wajah hadapan kelihatan tajam dan agresif tanpa perlu menggunakan gril hadapan yang besar seperti kebanyakan SUV berenjin petrol.

Apa yang paling mencuri perhatian ialah penggunaan kemasan fender hitam pada keempat-empat roda. 

Ketika melihat gambar rasmi sebelum ini, penulis mengakui agak ragu-ragu dengan pendekatan tersebut kerana ia kelihatan sedikit pelik. Namun selepas melihat sendiri kereta ini secara fizikal, persepsi itu berubah sepenuhnya.

Kabin minimalis

Jika bahagian luar memberi gambaran bahawa bZ4X ialah sebuah EV moden, suasana di dalam kabin pula memperlihatkan falsafah Toyota yang jauh lebih matang.

Sebaik membuka pintu, penulis tidak disambut dengan paparan skrin gergasi yang memenuhi keseluruhan dashboard ataupun lampu ambient yang bertukar warna setiap beberapa saat seperti kebanyakan EV baharu dari China.

Sebaliknya, Toyota memilih pendekatan yang jauh lebih bersederhana. Pada pandangan pertama, mungkin ada yang merasakan kabinnya terlalu ringkas. Namun selepas beberapa hari menggunakannya, penulis mula memahami mengapa Toyota memilih pendekatan sebegini.

Susun atur papan pemukanya kelihatan sangat kemas. Setiap kawalan diletakkan pada kedudukan yang logik dan mudah dicapai. 

Malah, Toyota masih mengekalkan beberapa butang fizikal untuk fungsi-fungsi penting seperti sistem penyaman udara, sesuatu yang pada pendapat penulis jauh lebih praktikal berbanding meletakkan semuanya di dalam skrin sentuh.

Di bahagian tengah, terdapat paparan infotainmen bersaiz 14 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, manakala di hadapan pemandu pula tersedia kluster meter digital 7 inci yang diletakkan lebih tinggi berbanding kebanyakan kereta lain. 

Kedudukan ini mungkin sedikit janggal pada awalnya, tetapi selepas beberapa minit memandu, penulis mendapati semua maklumat penting dapat dibaca tanpa perlu mengalihkan pandangan jauh daripada jalan raya. 

Pengalaman pemanduan

Jika ada satu perkara yang membuatkan penulis benar-benar memahami mengapa Toyota mengambil masa yang lama sebelum melancarkan EV mereka sendiri, jawapannya ialah pengalaman pemanduan.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu penulis berpeluang memandu pelbagai model EV daripada pelbagai pengeluar. 

Kebanyakannya menawarkan kuasa yang tinggi, pecutan yang pantas dan pelbagai teknologi moden, namun tidak semuanya memberikan pengalaman pemanduan yang benar-benar menyeronokkan. 

Ada yang terlalu lembut, ada yang sterengnya terlalu ringan, dan tidak kurang juga yang lebih menumpukan kepada prestasi pecutan berbanding keseimbangan keseluruhan casis.

Toyota bZ4X pula memberikan pengalaman yang agak berbeza.

Seawal beberapa kilometer pertama, SUV elektrik ini sudah mula menunjukkan karakternya sendiri. Walaupun ia dibina di atas pek bateri bersaiz besar yang dipasang pada bahagian bawah lantai, keseluruhan kereta terasa begitu kukuh dan padu. 

Perasaan “solid” itu dapat dirasai setiap kali melalui jalan yang tidak rata, sambungan jambatan atau permukaan jalan yang sedikit beralun. 

Tiada bunyi yang mengganggu daripada struktur badan, manakala suspensi pula berjaya menyerap kebanyakan hentakan dengan cukup baik tanpa membuatkan kereta terasa terlalu lembut.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah talaan suspensinya. Toyota tidak memilih talaan yang terlalu lembut semata-mata untuk memberikan keselesaan maksimum, dan tidak juga terlalu keras sehingga menjejaskan keselesaan harian. 

Sebaliknya, mereka berjaya mencari satu titik keseimbangan yang membuatkan bZ4X cukup selesa digunakan sebagai kereta keluarga, tetapi pada masa sama masih menyeronokkan apabila dipandu di jalan berliku.

 

Pengalaman mengecas

Apabila memiliki EV, satu lagi aspek yang sering menjadi perhatian ialah tempoh pengecasan.

Sepanjang tempoh pandu uji, penulis menggunakan beberapa fasiliti pengecasan awam bagi melihat sendiri bagaimana pengalaman pemilikan bZ4X dalam penggunaan sebenar.

Toyota bZ4X menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, manakala bagi pengecas AC pula ia mampu menerima kuasa sehingga 22 kW, bergantung kepada spesifikasi pengecas yang digunakan.

Dalam pengalaman penulis, mengecas daripada sekitar 17 peratus sehingga 80 peratus mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit menggunakan pengecas DC.

Tempoh tersebut sebenarnya tidak banyak berbeza dengan kebanyakan SUV elektrik moden yang menggunakan kapasiti bateri hampir sama.

Apa yang penulis pelajari sepanjang pengalaman ini ialah ramai pengguna sering menyalahkan kereta apabila proses pengecasan mengambil masa yang lebih lama.

Hakikatnya, prestasi pengecasan lebih banyak dipengaruhi oleh keadaan stesen pengecasan itu sendiri.

Kesimpulan 

Selepas beberapa hari bersama Toyota bZ4X, penulis akhirnya memahami apakah sebenarnya yang cuba dilakukan oleh Toyota.

Mereka tidak mahu menghasilkan sebuah EV yang hanya hebat ketika dilihat di dalam bilik pameran.

Mereka juga tidak cuba memenangi perang spesifikasi dengan menawarkan sebanyak mungkin skrin atau fungsi yang jarang digunakan.

Sebaliknya, Toyota menghasilkan sebuah kereta. Kemudian mereka menggantikan enjin pembakaran dalaman itu dengan sistem pacuan elektrik.

Perkara itu mungkin kedengaran mudah, tetapi hakikatnya sangat sukar untuk dilaksanakan.

Banyak EV moden berjaya menawarkan prestasi yang mengagumkan di atas kertas, namun apabila dipandu, pengalaman tersebut kadangkala terasa terlalu “digital” dan kurang melibatkan emosi pemandu.

Toyota bZ4X pula memberikan pengalaman yang berbeza. Ia mempunyai stereng yang memberikan keyakinan. Suspensi yang seimbang. Casis yang kukuh. Tahap NVH yang sangat baik. Ergonomik yang difikirkan dengan teliti.

Dan yang paling penting, ia memberikan keseronokan memandu yang sukar diterjemahkan hanya melalui helaian spesifikasi. 

Adakah bZ4X sebuah EV yang sempurna? Sudah tentu tidak. Masih terdapat beberapa aspek, khususnya dari sudut pengalaman digital dan reka bentuk interface pengguna, yang boleh dipertingkatkan untuk menjadikannya lebih kompetitif dalam pasaran EV masa kini.

Namun jika persoalannya ialah sama ada Toyota berjaya menghasilkan sebuah EV yang benar-benar menyeronokkan dipandu, jawapan penulis ialah ya.

Bahkan, inilah antara EV yang paling mudah membuatkan penulis terlupa bahawa ia sebenarnya sebuah EV.

 

Harga dan waranti

Toyota bZ4X dipasarkan di Malaysia pada harga bermula RM220,000, sekali gus meletakkannya dalam segmen SUV elektrik premium yang kini semakin kompetitif. 

Walaupun berdepan saingan daripada pelbagai jenama baharu, Toyota masih mempertaruhkan kekuatan utamanya iaitu kualiti pembinaan, pengalaman pemanduan serta rangkaian selepas jualan yang kukuh.

Dari aspek pemilikan, bZ4X didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, manakala pek bateri voltan tinggi dilindungi selama lapan tahun atau 160,000 km. 

Toyota turut menawarkan Program Penjagaan Bateri EV yang boleh memanjangkan perlindungan bateri sehingga 10 tahun atau satu juta kilometer, tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan bateri tahunan di pusat servis sah Toyota.

Bagi penulis, pakej waranti ini memberikan nilai tambah dan ketenangan fikiran, terutamanya kepada pembeli yang baru ingin beralih kepada kenderaan elektrik.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN