MAHAR kecam Israel, bangunkan penempatan haram di Palestin

MAHAR kecam Israel bangunkan penempatan haram di Palestin

 NURUL IZZAH ANWAR 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam tindakan Israel yang memperluas dan mempercepatkan penempatan haram di Baitulmaqdis Timur.

Sebanyak 20 projek baharu dilapor dilancarkan Israel sejak perang ke atas Gaza enam bulan lalu. 

Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan tersebut sebagai mengambil kesempatan ketika pembunuhan genosid berlaku di Semanjung Gaza. 

“Rancangan ini adalah sebahagian daripada untuk membanjiri Baitulmaqdis dengan penempatan dan penerokaan haram Israel, sekali gus memisahkannya daripada persekitaran Palestin.

“Terkini, pendatang haram dengan bantuan tentera Israel memusnahkan jalan raya, kedai-kedai dan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Izzah berkata, sasaran terbaharu Israel buat masa sekarang adalah pengamal media, pekerja kemanusiaan dan bantuan-bantuan kemanusiaan yang bertujuan menambah kesengsaraan penduduk dan pada masa yang sama mengehadkan laporan serta perkembangan di sana.

“Buat masa sekarang, lebih dari 34,000 rakyat Palestin syahid dalam tempoh 190 hari di Gaza termasuk kematian terkini tujuh sukarelawan kemanusiaan Op Ihsan yang turut terkorban ketika mengagihkan bantuan di Kem Nuseirat,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat sivil tempatan dan antarabangsa untuk terus memberi keutamaan kepada usaha menyelamatkan nyawa di tengah genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis. 

“MAHAR juga menyeru untuk semua terus memberi tekanan untuk gencatan senjata dan tentera Israel meninggalkan Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN