IPOH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memohon tambahan kuota beras putih tempatan (BPT) jika bekalan sedia ada yang diperuntukkan tidak mencukupi bagi menampung keperluan pengguna.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, ketika ini LPP menerima kuota 2,500 metrik tan BPT setiap bulan hingga hujung tahun ini.
“Langkah yang dibuat kerajaan ini (menambah kuota) merupakan satu tindakan yang baik. Alhamdulillah, beras yang kita pasarkan mendapat sambutan baik daripada rakyat.
“Sekiranya 2,500 metrik tan beras ini tidak cukup, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras tidak mempunyai masalah untuk menambah lagi kuota kerana perbincangan selalu dijalankan di peringkat kementerian,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah PPN Perak, Dzulfadli Johan dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua beras itu dipasarkan kepada pengguna di semua Peladang Outlet (PO), kedai-kedai peladang dan Peladang Premium Outlet (PPO) di seluruh negara.
“Beras ini dijual di bawah harga lantai iaitu RM26. Jadi, orang ramai boleh mendapatkan beras berkenaan di mana-mana outlet kita di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Azulita berkata, pembukaan PPO yang pertama di Perak membabitkan jualan produk-produk berkualiti usahawan PPN.
Katanya, selain di Perak, PPO turut terdapat di Putrajaya, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Setakat ini, kita ada 162 PO di seluruh negara di mana yang aktif ada 103 buah. Di Perak, ini adalah salah sebuah PO di peringkat premium yang memasarkan produk berkualiti. Kita harap ia dapat diperluaskan di negeri lain,” katanya. – UTUSAN








