Tiga loji baharu atasi isu benih padi - Utusan Malaysia

Tiga loji baharu atasi isu benih padi

AZULITA Salim (kanan) melihat pesawah memproses beras menggunakan mesin mini ketika melawat pusat pembelian padi PPK Tanjung Piandang di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Tiga loji benih padi telah diluluskan untuk beroperasi dalam masa terdekat bagi menjamin bekalan benih padi kepada pesawah.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim berkata, tiga loji benih itu ialah Kubur Panjang di Kedah, Simpang Lima di sini dan Sungai Burung di Selangor.

Menurutnya, loji benih padi itu dapat memastikan kualiti benih padi yang terbaik dihasilkan untuk manfaat pesawah.

“Dengan operasi tiga loji benih padi baharu ini, bermakna rantaian nilai dalam sektor ini sudah lengkap.

“Loji benih padi ini dapat mengimbangi penglibatan pihak swasta dalam membekalkan benih padi yang sah.

“Secara tidak langsung ia dapat menyelesaikan masalah benih padi tidak cukup juga isu harga benih padi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat pusat pembelian padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Piandang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Dzulfadli Johan.

Sementara itu, Azulita berkata, pihaknya menggalakkan pesawah memiliki mesin mini bagi memproses beras.

Menurutnya, geran disediakan untuk menggalakkan pesawah menghasilkan beras sendiri di bawah Program Geran Pemadanan.

“Galakan ini bertujuan agar pesawah dapat memproses dan menghasilkan beras untuk kegunaan sendiri daripada padi yang ditanam.

“Cara ini secara tidak langsung dapat menangani isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran dan pesawah tidak memerlukan lesen untuk memproses beras bagi kegunaan sendiri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya