PUTRAJAYA: Seorang bapa lima anak terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan semalam menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun atas kesalahan membunuh bekas isterinya yang ketika itu masih dalam iddah, 19 tahun lalu.
Daud Ahmad, 54, disabitkan membunuh Mimi Afiza Tamby, 31, dengan menjerut leher mangsa menggunakan selendang di antara pukul 1.30 pagi dan 2.30 pagi, 26 Ogos 2005 di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lubok Batu, Segamat, Johor.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal sebulat suara menggantikan hukuman gantung dengan penjara selepas membenarkan permohonan semakan lelaki tersebut.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 27 Ogos 2005.
Terdahulu, peguam Mohd. Radzi Yatiman memohon anak guamnya selaku pemohon dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 33 tahun atas alasan telah insaf dengan perbuatannya.
Hujah peguam bela, Daud telah menjalani hukuman penjara selama 19 tahun dan anak-anaknya sentiasa datang melawat secara bergilir-gilir di penjara.
Mohd. Radzi berkata, tiada senjata terlibat dalam kejadian itu sebaliknya selendang digunakan untuk menjerut leher bekas isterinya yang ketika itu masih dalam iddah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa memohon hukuman penjara tidak kurang 35 tahun kerana membunuh bekas isteri sebelum tempoh iddah berakhir sebulan lagi.
Asmah berhujah, meskipun pihak pendakwaan mengambil maklum berhubung anak-anaknya, mesej harus disampaikan kepada masyarakat bahawa lelaki itu telah menjerut leher bekas isterinya menggunakan selendang.
Keterangan kes menyatakan, mangsa yang merupakan seorang pekerja kedai makan tinggal bersama-sama lima anak di rumah berkenaan selepas mereka bercerai pada 25 Jun 2005 manakala Daud menetap berasingan.
Menurut keterangan anak sulung pasangan itu, pada awal pagi hari kejadian, dia mendengar kedua-duanya bertengkar apabila bapanya menuntut hak penjagaan anak bongsu yang ketika itu berusia enam tahun, namun tidak dipersetujui oleh ibu mereka.
Menurut saksi tersebut, pertengkaran itu berlaku di luar pintu rumah dan berlarutan selama 10 minit sebelum mendengar bunyi tapak kaki meninggalkan rumah berkenaan.
Keterangan kes juga menyatakan, mayat wanita itu kemudian ditemukan dalam longgokan sampah kira-kira 18.3 meter daripada kawasan rumah mereka.
Pembelaan lelaki itu pula menyatakan, dia memegang leher bekas isterinya dengan sebelah tangan sehingga mangsa pengsan bertujuan menghalang wanita itu daripada terus memakinya.
Ketika di peringkat rayuan, pembelaan membangkitkan isu provokasi dan bangkitan marah secara mengejut ketika pergaduhan selepas wanita itu mencabar dan memaki-hamun bekas suami yang meminta kepastian hubungannya dengan seorang lelaki. – UTUSAN










