Lelaki Israel tak mengaku dagang pistol, miliki ratusan peluru

Lelaki Israel tak mengaku dagang pistol, miliki ratusan peluru

AVITAN Shalom diiringi anggota polis yang lengkap bersenjata semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya faham hakim. Saya mengaku tidak bersalah.”

Itu pengakuan lelaki Israel, Avitan Shalom dalam bahasa Inggeris selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tasnim Abu Bakar di sini, semalam.

Avitan dikawal empat anggota polis yang memakai balaclava di kiri dan kanan kandang tertuduh dan dua lagi berdiri di belakangnya.

Di galeri awam, Pengarah Ja­batan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain turut hadir mendengar prosiding terbabit.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki berusia 38 tahun itu didakwa memperdagang enam jenis pistol antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang, 28 Mac lalu di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.

Enam pistol tersebut adalah Glock 19 USA 9x 10, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, N&P 9C Smith & Wesson SpringField MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.

Pada masa, tarikh dan tempat sama, Avitan turut didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru dan tiga kotak Bullet Master Co. Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Pada prosiding semasa, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Raya, Shafiq Hasim dan Mohd. Fakhrurazi Ahmad Salim. Tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Navinjit Singh dan Jeffrey Ooi.

Mohamad Mustaffa tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia merupakan satu kesalahan yang tidak boleh dijamin. Pembelaan bersetuju dengan hujah pendakwaan dan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Tasnim kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 21 Mei ini.

Terdahulu, Aviton dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menaiki ‘black maria’ dan dikawal ketat oleh anggota polis yang memakai balaclava dan lengkap bersenjata.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 8 April lalu, suri rumah, Sharifah Faraha Syed Husin dan suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Mereka sebelum ini ditahan sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN