SHAH ALAM: Polis akan mengambil keterangan beberapa individu lagi bagi membantu siasatan penemuan bagasi yang mengandungi wang tunai RM500,000 dekat sebuah pusat beli belah di Damansara pada dua minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, baru-baru ini polis sudah pun mengambil keterangan lelaki yang membawa dan meninggalkan bagasi berkenaan ke tempat letak kereta di pusat beli belah terbabit.
Menurutnya, individu tersebut mengaku melakukannya dan polis menyiasat perbuatan terbabit yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan parkir itu.
“Lelaki itu mengaku bahawa dia yang bawa dan tinggalkan bagasi itu di tempat parkir itu. Kami percaya dia dan seorang lagi lelaki yang sebelum ini mengaku wang tersebut milik syarikatnya adalah datang daripada syarikat yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pengarah syarikat mengakui bahawa wang tersebut adalah milik syarikatnya, bagaimanapun individu itu gagal mengemukakan sebarang bukti atau rekod.
Dalam pada itu, kata Hussein, polis masih lagi menyiasat motif lelaki berkenaan meninggalkan wang tersebut di parkir berkenaan.
“Kita juga sudah mengecam tujuh cap jari yang ada pada bagasi itu. Semua kertas siasatan kes ini akan dibawa ke pihak pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN










