KLANG: Penduduk di sekitar pekan Meru gempar selepas sebuah kilang cat dekat Taman Perindustrian Meru, di sini terbakar awal pagi tadi.
Kebakaran tersebut menyebabkan kepulan asap tebal dan kilauan api kelihatan dari kawasan perumahan dalam radius kira-kira 2 kilometer (km) di pekan tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.34 pagi sebelum mengerahkan pasukan dari lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke tempat kejadian.
“Dimaklumkan kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang berukuran 20,000 kaki persegi. Proses pemadaman sedang dijalankan dan tiada mangsa terlibat dilaporkan setat ini. Ketua Balai telah dimaklumkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Balai yang terlibat dalam operasi tersebut adalah, BBP Kapar, Klang Utara, Andalas, Pelabuhan Klang, Kota Raja, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Rawang membabitkan 39 pegawai dan anggota.
Sementara itu menerusi perkongsian penduduk dalam media sosial memberitahu, mereka mendengar bunyi letupan beberapa kali dari kawasan kilang tersebut.
“Patut dengar bunyi maxam mercun, dok fikir takkan pagi-pagi orang main bunga api,” kata Fateen Rozali.
Malah ada yang mendakwa kebakaran turut merebak ke kawasan kilang berhampiran.
“Kossan paint terbakar lepas itu minyak melimpah sampai ke kilang lain kena,” komen Amir Firdaus.
“Hati-hati yang melalui Jalan Rambutan. kebakaran kilang Kossan Paint di Taman Perindustrian Meru telah merebak ke tepi Jalan Rambutan. Elakkan melalui Jalan Rambutan buat sementara waktu,” kongsi Iqbal Benzainal. – UTUSAN










