Khidmat pakar luar negara sedia diguna siasat nahas dua helikopter - Utusan Malaysia

Khidmat pakar luar negara sedia diguna siasat nahas dua helikopter

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) menandatangani plug Penyerahan Projek Siap di Kampung Dusun Tembakau, Manir, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ZAID MOHD. NOOR/pix
[email protected]

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertahanan sedia menggunakan khidmat pakar dari luar negara untuk melakukan siasatan nahas membabitkan pertembungan dua helikopter dalam raptai lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90, di Lumut, Perak, Selasa lalu.

Menterinya, Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyerahkan kepada TLDM dan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan untuk menentukan keperluan memanggil pakar dari luar negara.

Menurutnya, TLDM dan Lembaga Siasatan diberi tempoh dua minggu untuk menyiapkan
laporan interim dan laporan penuh pula sebulan berhubung nahas tersebut.

Katanya, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada TLDM dan Lembaga Siasatan melakukan siasatan tersebut supaya kemalangan itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Bila ada keperluan (khidmat pakar luar negara) nanti, saya percaya jawatankuasa (TLDM dan Lembaga Siasatan) akan dapatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan itu, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan tiga kru Fennec TLDM maut melibatkan pegawai kanan dan anggota lain-lain pangkat dalam nahas terbabit.

Mangsa yang maut itu dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak dan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Selain itu, Mohamed Khaled memberitahu,
bangkai dua helikopter yang terhempas itu juga telah dibawa keluar dari lokasi kejadian pada Khamis lalu.

“Semua bangkai pesawat tersebut ditempatkan dalam Pangkalan TLDM Lumut bagi memudahkan proses siasatan dijalankan,” ujarnya.

habis.

Caption

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) menandatangani plug Penyerahan Projek Siap di Kampung Dusun Tembakau, Manir, Kuala Terengganu, hari ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN