Khairul Azhari enggan ‘layan’ isu akademiknya

Khairul Azhari enggan ‘layan’ isu akademiknya

CALON Perikatan Nasional Khairul Azhari Suat pada hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu, pagi tadi. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Suat enggan mengulas dakwaan berhubung kelayakan akademik yang menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial ketika ini.

Khairul Azhari berkata, beliau ingin memberikan fokus kepada strategi dan kempen dalam Pilihan Raya kecil (PRK) bagi kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.  

“Saya tidak mahu komen tentang dakwaan itu. Saya nak fokus pilihan raya. Saya akan jawab kemudian,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini, hari ini. 

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mempersoalkan kelayakan akademik pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu di mana beliau mempunyai ijazah sarjana tanpa dianugerahkan ijazah sarjana muda. 

Malah, latar belakang pendidikan Khairul Azhari itu turut dipersoal oleh Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang dilaporkan berkata, calon PN itu terlampau hebat kerana memiliki diploma dan ijazah sarjana dalam tempoh dua tahun. 

Menerusi poster pilihan raya, difahamkan Khairul Azhari memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 manakala menerima Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang pada 2021. 

Bagaimanapun, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu pendidikan Khairul Azhari tidak sepatutnya menjadi isu kerana beliau telah mengikuti kursus-kursus yang ditetapkan.

“Soal sama ada diiktiraf oleh kementerian itu bukan menjadi pertimbangan mana-mana pelajar ataupun mereka yang mengambil kursus tersebut. 

“Bagi mereka yang sudah ada pengalaman bekerja biasanya dia akan mengambil tempoh kursus eksekutif dalam tempoh yang singkat untuk beri tumpuan dalam bidang tertentu,” jelasnya.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan antara empat calon iaitu selain daripada Khairul Azhari adalah Pang Sock Tao yang bertanding bagi pihak Pakatan Harapan (PH), Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN