PETALING JAYA: Keselamatan peserta misi Freedom Flotilla termasuk dari Malaysia menjadi keutamaan pihak penganjur.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, segala maklumat tentang keselamatan atau ancaman daripada Israel, pihak penganjur akan memberi maklum kepada peserta melalui grup dalam Telegram.
“Pihak penganjur sudah kenal pasti senario yang dapat mengelakkan mereka daripada masalah dengan Israel. Contohnya, nanti ada ada latihan untuk mengelakkan ada provokasi daripada rejim Zionis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, senario yang amat mereka harapkan adalah perjalanan tanpa ada sebarang sekatan daripada rejim Zionis untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
“Sekiranya Israel membuat sekatan, pihak kami akan menurunkan barangan bantuan di Mesir. Dari situ bantuan akan dibawa masuk dan diagih kepada penduduk di Gaza melalui pintu Rafah masuk ke Gaza.
“Kami hanya ingin menyampaikan bantuan ke Gaza dan ini misi keamanan, bukan misi keganasan. Kami tidak mahu ada provokasi terhadap rejim zionis,” katanya
Seramai 20 aktivis dari Malaysia menyertai misi Freedom Flotilla yang diketuai pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Seramai 1,000 peserta dari seluruh dunia menyertai misi Freedom Flotilla pada kali ini. – UTUSAN










