KUALA LUMPUR: Pihak Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menjangkakan tiada sebarang komunikasi dapat dilakukan dengan kesemua delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dalam tempoh sehingga 24 jam.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ia selepas kesemua kapal dilaporkan dipintas tentera Israel, awal pagi tadi.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, proses membawa kapal yang ditahan ke daratan dijangka mengambil masa yang panjang.
“Pintasan berlaku sekitar pukul 5 pagi waktu tempatan (perairan Mesir). Biasanya apabila kapal dipintas, kita akan serahkan sepenuhnya kepada tentera Israel untuk menguruskan pergerakan kapal tersebut.
“Jarak dari lokasi pintasan, kira-kira 100 batu nautika ke daratan, boleh mengambil masa antara 15 hingga 24 jam untuk tiba di Pelabuhan Ashdod.
“Sehingga mereka tiba di darat, kemungkinan besar kita tidak dapat berhubung dengan sesiapa. Namun segala tindakan dan persediaan di pihak daratan telah pun kami laksanakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare di Seri Kembangan di sini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, pihaknya menjangkakan tiada sebarang akses komunikasi dapat dibuat dengan mana-mana individu dalam kapal misi berkenaan.
Misi FFC x TMTG disertai sembilan kapal membawa aktivis kemanusiaan antarabangsa termasuk sembilan delegasi Malaysia yang berlayar bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. – UTUSAN









