Aktivis Malaysia sedia hadapi pintasan Zionis demi Palestin

Aktivis Malaysia sedia hadapi pintasan Zionis demi Palestin

KAMARUL Zaman Shaharul Anwar dalam sidang akhbar berkaitan perkembangan terkini pelayaran kapal Conscience yang membawa sembilan delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare di Ibu Pejabat MyCare, Serdang, semalam. – MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Aktivis Malaysia yang kini belayar menuju Gaza dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleen to Gaza (TMTG) menegaskan mereka telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk tindakan pintasan oleh tentera Zionis Israel dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pe­ngalaman luas menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sebelum ini menjadi kekuatan utama delegasi Malaysia untuk terus berlayar tanpa rasa gentar.

“Kami sedar risiko pintasan sentiasa ada, tetapi bantuan ini lebih penting daripada ketakutan.

“Delegasi-delegasi kami su­dah banyak pengalaman berdepan situasi seperti ini dan jika ditahan, berdasarkan pe­ngalaman lalu, mereka lazimnya akan dilepaskan dalam dua atau tiga hari,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terkini Kapal Conscience ke Gaza anjuran FFC dan MyCare di Ibu Pejabat MyCare, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Menurutnya, sembilan de­legasi Malaysia yang kini menyertai misi pelayaran sembilan kapal FFC membawa lebih 150 peserta dari 25 negara, termasuk pakar perubatan, wartawan antarabangsa dan aktivis keamanan.

Daripada jumlah itu, lapan delegasi Malaysia belayar dengan Conscience, manakala seorang lagi aktivis, Dr. Maziah Muhammad, berada di Umm Saad bersama tujuh kapal kecil lain.

Delegasi Malaysia diketuai Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali dan tiga doktor perubatan, Dr. Fauziah Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi serta dua pensyarah universiti, Profesor Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail.

Turut sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Kapal Conscience, yang kini berada kurang daripada 400 batu nautika dari Gaza memberi tumpuan kepada penghantaran bantuan perubatan dan makanan bayi bernilai RM500,000.

Bagi Prof. Dr. Mohd. Afandi, misi kali ini dianggap paling mencabar tetapi tetap terkawal kerana mendapat perhatian dan sokongan antarabangsa yang meluas.

“Kami tahu risikonya besar, tetapi misi ini penting untuk rakyat Gaza. Banyak negara turut menghantar wakil masing-masing sebagai tanda solidariti,” ujarnya.

Dr. Maziah pula berkata, semua peserta telah menjalani latihan dan persediaan keselamatan oleh pihak koordinasi sebelum berlayar.

“Kami sudah bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. Insya-Allah kami teruskan misi ini dengan penuh keyakinan dan doa semua pihak,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, kapal Conscience dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh 24 jam sebelum menuju ke zon merah berhampiran pantai Gaza dalam masa dua hingga tiga hari lagi.

“Jika ditahan, kami berserah kepada Allah dan yakin setiap usaha kecil ini membawa makna besar untuk rakyat Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN