JOHOR BAHRU: UMNO Johor menggesa agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berasa malu untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, GST perlu diperkemaskan dengan melalui penambahbaikan bagi memastikan ia memberi manfaat kepada kestabilan ekonomi negara.
Katanya, sistem tersebut membawa keadilan dan kesaksamaan dalam sistem cukai dengan memberi kesan terhadap golongan kaya dan miskin secara sewajarnya.
“Kerajaan Madani jangan berasa malu untuk perkenal semula GST, mungkin disebabkan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) memburukkan langkah yang diperkenal Barisan Nasional (BN) walaupun sebenarnya mereka sedar GST adalah baik untuk ekonomi negara dan rakyat.
“Jujurlah wahai pemimpin PH dalam Kerajaan Madani, akuilah bahawa sistem GST jauh lebih baik daripada SST. Mungkin Kerajaan Madani boleh perkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah berbanding sebelum ini, misalnya pada kadar tiga peratus. Tidak perlu untuk laksanakan kadar yang tinggi asal yang dapat manfaat adalah negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Halim yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tebrau turut memberitahu, pegawai dan anggota kerajaan sudah berpengalaman dalam pelaksanaannya dan diyakini mampu menjayakan hasrat demi negara. – UTUSAN










