Muhyiddin dakwa Bersatu kini pembangkang tunggal 

Muhyiddin dakwa Bersatu kini pembangkang tunggal 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bersatu perlu bertahan sebagai parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Malaysia bagi mengisi kelompangan semak dan imbang terhadap kerajaan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan parti itu hari ini kembali seperti asas awal penubuhannya iaitu sebagai parti pembangkang.

Menurutnya, keadaan itu jauh lebih mencabar kerana Bersatu kini berdepan parti-parti kerajaan dan prokerajaan.

“Kedudukan Bersatu hari ini adalah sebagai parti pembangkang seperti di peringkat awal penubuhannya.

“Mengapa saya katakan Bersatu satu-satunya pembangkang? Ini kerana Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan di peringkat Persekutuan dan di beberapa negeri. 

“BN juga kerajaan di peringkat Persekutuan dan di beberapa negeri. Jadi, apabila PN menjalin kerjasama politik dengan BN, ia secara tidak langsung turut menjadi parti yang menyokong kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memaklumkan Perikatan Nasional (PN) akan membantu BN sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, manakala BN pula akan membalas bantuan itu sepanjang tempoh kempen selama dua minggu. 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, apabila PN mengadakan kerjasama politik dengan BN, gabungan itu secara tidak langsung telah menjadi parti yang menyokong parti kerajaan.

Beliau berkata, cabaran utama Bersatu bukan lagi soal sama ada parti itu mampu bertahan, sebaliknya mesti bertahan demi membawa suara rakyat.

“Kerana kini ada satu kelompangan yang besar dalam politik Malaysia.

“Tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk melakukan semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, negara juga memerlukan parti yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ketika kehidupan mereka semakin tertekan.

Beliau berkata, BN dan PH tidak boleh lari daripada tanggungjawab kolektif terhadap pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang didakwa membebankan rakyat.

Katanya, dasar tersebut termasuk kenaikan harga diesel dan petrol, kegagalan menangani isu kos sara hidup secara berkesan serta kegagalan melaksanakan reformasi institusi.

“BN boleh melaungkan sudah tiba masanya untuk mengebumikan PH dan disambut dengan senyuman oleh PN-PAS, tetapi BN dan PH tidak boleh lari walau seinci pun daripada tanggungjawab bersama mereka,” katanya.

Muhyiddin turut menuduh UMNO dan BN cuba mengalihkan kesalahan terhadap isu semasa walaupun masih menikmati kedudukan sebagai kerajaan, sebelum kembali memainkan sentimen perpaduan Melayu dan Islam bagi meraih sokongan.

“Percayalah, semua ini hanyalah sandiwara untuk memperdayakan orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa,” katanya.

Tambahnya, Bersatu tidak terbabit dengan percaturan politik sedemikian dan akan terus komited untuk mempertahankan kepentingan rakyat serta memajukan negara walaupun berdepan pelbagai cabaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN