JEMPOL: Prestasi persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi penentu kepada hala tuju hubungan kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan mengenai kerjasama yang lebih meluas akan dibuat selepas menilai keberkesanan persefahaman tersebut di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, landskap politik sentiasa berubah dan memerlukan penelitian sebelum sebarang jajaran baharu dibentuk.
“Kami akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan kerana politik ini sangat dinamik.
“Maka kita akan menyusun jajaran yang diperlukan untuk PRN Melaka dan negeri-negeri lain, termasuk apabila menghadapi PRU16 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (Gema@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata, persefahaman antara BN dan PN di Negeri Sembilan dibuat bagi mengelakkan pertindihan kekuatan di kawasan yang menjadi tumpuan kedua-dua gabungan.
Katanya, pendekatan itu mengambil kira pengalaman serta perkembangan geopolitik yang berlaku di Johor.
“Kami berterima kasih kepada kepimpinan parti-parti dalam PN kerana memahami keadaan geopolitik di Negeri Sembilan.
“Mudah-mudahan ia menjadi satu jajaran baharu di Negeri Sembilan selepas hari pengundian nanti. Kami juga berharap bukan sahaja jentera malah pengundi di kedua-dua pihak dapat menterjemahkan sokongan terhadap persefahaman ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN menawarkan rekod pentadbiran di negeri-negeri di bawah gabungan itu sebagai asas keyakinan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Katanya, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan sebanyak 4.6 peratus masih berada di bawah purata nasional iaitu 5.2 peratus, manakala Johor merekodkan pertumbuhan kira-kira lapan peratus di bawah pentadbiran BN.
“Kami memberikan tawaran dan harapan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar apa yang berlaku di Johor dan Pahang dapat dilakukan di Negeri Sembilan sekiranya mandat diberikan kepada BN untuk mentadbir negeri ini,” katanya. – UTUSAN










