TEHERAN: Iran melancarkan semula serangan ke atas sekutu Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk semalam, selepas serangan malam ketujuh berturut-turut AS menyasarkan tapak tentera dan infrastruktur logistik negara itu.
Iran semalam mengumumkan serangan ke atas beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan udara AS, termasuk Bahrain, Qatar, Kuwait dan Jordan, selain menyasarkan sebuah kapal AS di utara Lautan Hindi.
Pihak pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan amaran awal di sekurang-kurangnya dua lokasi, yang merupakan amaran pertama dalam tempoh beberapa bulan, namun setakat ini belum melaporkan sebarang kerosakan.
Sebelum ini, Iran pernah melancarkan serangan ke atas beberapa kemudahan tenaga di negara pengeluar minyak berkenaan.
Pihak berkuasa Kuwait memaklumkan sebuah stesen janakuasa dan penyahgaraman air negara itu terkena serangan Iran, menyebabkan kerosakan, kebakaran serta gangguan terhadap sejumlah besar unit penjanaan elektrik.
Tentera Kuwait kemudian mengesahkan pihaknya sedang bertindak balas terhadap serangan dron Iran.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula mendakwa menyerang sebuah depoh dron milik AS di Bahrain serta memusnahkan pusat kecerdasan buatan (AI) utama negara itu menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan tentera laut negara itu melancarkan peluru berpandu kruis dari pantai ke arah sebuah kapal AS yang disifatkannya sebagai ‘musuh’ di utara Lautan Hindi.
Tentera Iran mendakwa pelancaran peluru berpandu itu mencetuskan ‘ketakutan dan panik’ serta memaksa kapal berkenaan berundur keluar daripada lingkungan operasi tentera laut Iran.
Perkembangan itu menyaksikan konflik terus memuncak, hanya seminggu selepas perjanjian gencatan senjata yang rapuh dilaporkan gagal dipertahankan.
Kedua-dua pihak turut menyasarkan laluan perkapalan, dengan AS kini menguatkuasakan sekatan laut, manakala Iran menyasarkan kapal yang didakwa melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz.
Harga minyak melonjak lebih daripada empat peratus kelmarin ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan, sekali gus meningkatkan tekanan politik terhadap Presiden Donald Trump, ketika Parti Republikan berusaha mengekalkan kuasa dalam pilihan raya Kongres pada November.- AGENSI










