KUALA KUBU BHARU: Hospital Kuala Kubu Baharu bakal menerima fasiliti dan pakar baharu selepas tinjauan dilakukan oleh Menteri Kesihatan hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sesi libat urus diadakan bersama pihak hospital dan ada perancangan untuk pemulihan dan perkukuhkan projek-projek kesihatan baharu.
“Rancangan selepas tinjauan adalah untuk menekankan kepentingan transformasi digital dan pemerkasaan fasiliti kesihatan sebagai aspek penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
“Tidak lupa juga kepada penumpuan kepada fasiliti hospital yang mana pesakit tidak selesa kerana tidak mempunyai ruang menunggu yang cukup di hospital Kuala Kubu Bharu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, bermula pada Januari tahun ini, seorang pakar perubatan am telah bekerja di hospital ini dan bulan Mei nanti akan bertambah seorang lagi pakar perubatan kecemasan dan akan ada pertambahan berterusan untuk tahun ini.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, ada penambahan pakar tetap di hospital tersebut termasuk pakar kecemasan, nephrologi dan perubatan dalaman.
“Dengan kehadiran pakar-pakar, masyarakat bertambah yakin untuk mendapatkan rawatan di hospital ini.
“Tidak perlu bergerak jauh ke Hospital Selayang kerana Hospital Kuala Kubu Baharu akan mempunyai pakar,” katanya.
Beliau menjelaskan, peningkatan jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut adalah petanda positif yang menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan yang disediakan.
Dalam pada itu, beliau berharap dengan penambahbaikan yang berterusan, hospital Kuala Kubu Baharu akan terus mencapai prestasi yang cemerlang.
Walaupun masih ada cabaran dalam meningkatkan fasiliti-fasiliti kesihatan, beliau memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berkesan kepada masyarakat.- UTUSAN










