PETALING JAYA: Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan mereka bukan di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi kenyataan bersama hari ini, Mirzan dan Mokhzani berkata, mereka ingin membuktikan kekayaan yang dimiliki melalui saluran yang betul.
“Kami ingin memaklumkan bahawa kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM, tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.
“Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai ‘anak’ kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” kata mereka.
Katanya, mereka memahami bahawa keseluruhan siasatan ada untuk menentukan sekiranya bapa (Dr. Mahathir) menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk memperkayakan kami (Mirzan dan Mokhzani).
Pada Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Dr. Mahathir antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Azam juga berkata, notis pengisytiharan harta ke atas Mirzan dan Mokhzani berkaitan dengan siasatan itu, tetapi tidak menjelaskan dengan lebih terperinci.
Dalam pada itu, mereka turut menghargai lanjutan masa yang diberikan SPRM ke atas notis yang diserahkan kepada mereka Januari lalu.
Kata mereka lagi, memandangkan pengisytiharan harta yang perlu dilakukan meliputi tempoh 43 tahun dengan kurangnya rekod maklumat selama tempoh itu, mereka berharap SPRM dapat menentukan tempoh masa yang paling penting untuk siasatan mereka.
Mereka juga menepis sindiran mendakwa mereka memerlukan lebih masa ekoran kekayaan yang terlalu besar.
“Hakikatnya, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutamanya dari institusi kewangan dan juga dari sektor awam,” katanya.
Mereka turut menyangkal serta menolak tuduhan berkaitan (kekayaan diperolehi daripada salah guna kuasa) dan ingin membuktikan bahawa apa sahaja yang kami peroleh selama ini adalah melalui cara yang sah.
“Kami menggunakan saluran yang betul dan tanpa melibatkan sebarang aktiviti jenayah,” kata mereka lagi. – UTUSAN










