Jika kaum India boikot calon PH boleh makan diri - Ramanan

Jika kaum India boikot calon PH boleh makan diri – Ramanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Gesaan supaya komuniti India memboikot calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu akan memakan diri kumpulan tersebut.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) I, Ramanan Ramakrishna berkata, cadangan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), Dr. P. Ramasamy untuk memboikot Sock Tao adalah tidak wajar

Menurut beliau, tiada kepastian sama ada bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti lain akan memberikan bantuan kepada komuniti India di Kuala Kubu Baharu.

“(Ramasamy) cakap pandai untuk boikot tidak mengapa, tapi jika ADUN yang menang selepas ini tidak dapat tolong mereka, adakah beliau akan pergi tolong (penduduk)? Sebab saya sudah lihat banyak kali, lepas menang kita bukan kerajaan negeri dan tiada peruntukan. 

“Siapa komuniti India yang yakin dengan beliau ikutlah tapi bila masalah datang saya minta Ramasamy selesaikan masalah penduduk,” katanya selepas Program Sembang Santai Vanalam Madani di Auditorium Dato Abdul Halim, Batang Kali, di sini.

Terdahulu, Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP itu dilaporkan mendakwa banyak janji ditaburkan kerajaan kepada kaum India tidak ditunaikan. 

Berikutan itu, beliau meminta masyarakat India untuk memboikot calon Sock Tao calon PH berkenaan.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Sock Tao, Khairul Azhari Suat (PN), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). 

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN