PETALING JAYA: Kemudahan Ringkasan Pesakit Antarabangsa (IPS) melalui aplikasi MySejahtera akan dibekalkan kepada semua jemaah haji.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, IPS yang merupakan satu transformasi digital Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memudahkan rawatan jika berlaku sebarang insiden semasa mengerjakan ibadah itu.
Selain itu katanya, ia membolehkan pengamal perubatan di tanah suci mengakses maklumat perubatan asas jemaah haji yang kritikal dengan hanya mengimbas kod respons pantas (QR).
“Menerusi IPS, segala maklumat termasuklah sejarah kesihatan dan perubatan serta alahan jemaah haji dapat diakses oleh kerajaan Arab Saudi, membolehkan rawatan langsung dapat dilakukan oleh pakar perubatan bertugas kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi KKM bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) KKM ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1445H/2024 di Putrajaya, kelmarin.
Untuk tahun ini, seramai 279 petugas haji (perubatan) KKM dan tiga petugas haji (kebajikan), akan bertugas di tanah suci bermula 30 April ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, rombongan petugas perubatan KKM terdiri daripada pelbagai disiplin seperti perubatan am, perubatan keluarga dan perubatan kecemasan dan trauma merupakan pasukan yang amat penting pada operasi haji setiap tahun.
“Pengurusan kesihatan jemaah haji bukan tugas yang mudah, ditambah dengan profil umur jemaah haji yang hampir 36 peratus melebihi 60 tahun. Namun, anggota perubatan KKM yang bertugas setiap hari telah menunjukkan komitmen yang amat tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik setiap tahun,” katanya.
Syed Hamadah berkata, pengurusan TH amat berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan KKM, dengan kerjasama di semua peringkat yang bermula dari perancangan dan persediaan di tanah air, sehingga semasa berada di tanah suci ketika operasi haji berjalan adalah sangat baik.
Beliau berkata, TH juga melaksanakan soal selidik untuk mengukur tahap kepuasan jemaah terhadap perkhidmatan haji, meliputi pelbagai aspek setiap tahun dengan penilaian musim lepas, mendapati jemaah amat berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan KKM. – UTUSAN










