Sejak pemergian suami, Pitt Haniff akibat lemas, lebaran terasa sangat berbeza buat pelakon, Farah Ahmad dan tiga anaknya.
Namun begitu, sambutan Aidilfitri tetap diraikan dengan hidangan kegemaran anak-anak seperti lontong, kuah lodeh dan rendang.
Bercerita mengenai momen yang paling dirindu menjelang hari raya, pelakon Roh itu tidak dapat melupakan hobi yang sering dilakukan bersama suami pada malam raya.
“Kehilangan arwah memang sangat terasa terutamanya pada malam raya. Kami ada satu tabiat wajib yang mesti dilakukan pada malam raya iaitu menaiki motor dan bersiar-siar di jalan Tuanku Abdul Rahman.
“Selepas habis memasak, kami akan ke sana, bukan untuk beli-belah. Tapi sekadar merasai kemeriahan menyambut hari raya. Kemudian kami wajib beli dan makan jagung bakar.
“Kini selepas pemergian arwah, tiada lagi saya ke jalan TAR pada malam raya,” katanya
Menantu kepada pelakon Fauziah Nawi itu juga bersyukur kerana kesemua anaknya tidak pernah menunjukkan riak sedih di pagi raya walaupun kehilangan bapanya tetap dirasa.
“Sehari sebelum raya, memang kami akan turun menziarahi pusara arwah. Mujurlah kuburnya dekat sahaja dengan rumah.
“Saya sangat bersyukur, walaupun sudah tiada bapa namun anak-anak mudah reda dengan ketentuan ini.
“Walaupun rindu, mereka tidak pernah menunjukkan wajah sedih sebaliknya tetap meriah meraikan hari raya bersama-sama dengan sederhana,” katanya.










