HULU SELANGOR: Subsidi, kos sara hidup, pendidikan dan infrastruktur akan ditekankan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bagi membuktikkan kepada pengundi bahawa kerajaan tidak berupaya menyelesaikan isu-isu tersebut.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat isu itu merupakan antara bahan yang akan digunakan oleh partinya untuk menarik undi daripada pengundi Kuala Kubu Bharu.
Menurut beliau, jentera PN akan mula mengunjungi rakyat dan memberi penjelasan mengenai isu yang didakwanya gagal ditangani oleh kerajaan perpaduan.
“Saya sudah dengar banyak komen daripada rakyat bukan sahaja di Kuala Kubu Baharu tetapi (turut) di tempat-tempat lain tentang masalah ini, ia cukup mendesak dan (saya) tidak nampak keupayaan pimpinan Kerajaan Persekutuan (iaitu) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah.
“Menambahkan masalah ada, menyusahkan pun ada tetapi penyelesaian tidak ada. Jadi, apa tujuan menjadi kerajaan? Baik di peringkat negeri ataupun Persekutuan, jika tidak menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri hadir ke Pusat Penamaan Calon bagi mengiringi calon PN, Khairul Azhari Saut.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan antara empat calon iaitu selain daripada Khairul Azhari adalah Pang Sock Tao yang bertanding bagi pihak Pakatan Harapan (PH), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru pengundi di Kuala Kubu Bharu tidak memboikot PRK yang diadakan pada 11 Mei ini.
Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, pengundi perlu menggunakan hak demokrasi untuk mengundi semasa pilihan raya itu bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.
“Kalau tidak suka pihak kerajaan, kita boikot (mereka) dan pangkah PN. Itu baru ada kesan, kalau kita (hanya) duduk rumah atau tidak keluar mengundi itu satu kerugian sebagai seorang pengundi. Jadi, saya merayu (pada pengundi),” katanya.
Tambahnya, beliau mempunyai keyakinan bahawa Khairul Azhari akan berjaya merampas kerusi itu daripada DAP yang diwakilinya sejak 2013.
“(Saya) 110 peratus. Dia (Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) yakin, saya pun yakin. Penentunya bukan saya atau dia kerana kami berdua bukan pengundi. Apa yang penting adalah orang yang ada di Kuala Kubu Bharu.
“Hak Zahid Hamidi untuk kata (yakin) 100 peratus. Mungkin berdasarkan keputusan calon yang lepas. Itu sudah berlalu, ini pilihan raya baharu dalam situasi yang baharu. Sebab itu kita buat keputusan di masa yang sesuai untuk menamakan calon Melayu,” jelasnya. – UTUSAN










