KULAI: Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berharap calon wanita akan dipilih untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 11 Mei ini.
Nie Ching berkata, Wanita DAP mempunyai beberapa nama berpotensi tinggi yang dicadangkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk diketengahkan pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Katanya, beliau yakin kepimpinan tertinggi parti dapat menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih calon yang tepat dan berkaliber dari senarai yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Sebagai Ketua Wanita DAP, sememangnya saya berharap calon wanita yang dipilih seterusnya menambah bilangan wakil rakyat dalam kalangan wanita.
“Untuk rekod, DAP mempunyai jumlah ahli Parlimen paling tinggi berbanding parti lain, daripada 40 keseluruhan ahli Parlimen, 10 daripadanya adalah wanita.
“Bagaimanapun, segala keputusan terpulang kepada kepimpinan tertinggi untuk memilih calon yang layak pada PRK ini kerana banyak faktor perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Projek Baju Raya Terpakai dan Sumbangan Bantuan Raya di Blok 3 Flat Taman Putri di sini, hari ini. – UTUSAN










