KULAI: Lebih 20,000 kandungan berunsur penipuan serta perjudian dalam talian telah diturunkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalami tempoh 1 hingga 15 Januari lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, daripada jumlah itu, ia melibatkan 15,519 kandungan perjudian dalam talian manakala 5,421 kandungan berunsur penipuan atau scam yang disekat daripada pelbagai platform media sosial.
“Sebarang sekatan atau penurunan kandungan dilaksanakan oleh penyedia platform itu sendiri. MCMC hanya bertindak sebagai pihak yang menyalurkan aduan dan bekerjasama dengan penyedia platform untuk memastikan kandungan berbahaya ditangani,” katanya selepas merasmikan Program Penyerahan Rasmi Bas Mewah Generasi Baharu di Jalan Senai Jaya, Senai, di sini hari ini.
Nie Ching berkata, peningkatan ketara kes penipuan dan perjudian dalam talian itu amat membimbangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak.
“MCMC menggesa penyedia platform agar memperkukuh proses saringan kandungan sejak peringkat awal dan tidak hanya bertindak selepas aduan dibuat bagi memastikan kandungan berbahaya tidak wujud di platform masing-masing,” katanya. – UTUSAN










