KULAI: Pakatan Harapan (PH) Johor telah mula membincangkan pembahagian kerusi melibatkan parti komponen susulan kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal iaitu tahun ini.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching berkata, perkara itu melibatkan perbincangan dalaman iaitu antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) sahaja.
“Kami sekarang dalam peringkat membincangkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi setiap parti dalam PH Johor. Saya percaya parti lain juga sudah mula buat persiapan masing-masing.
“Setakat ini, perbincangan hanya dalaman PH sahaja. Selepas itu baru kami akan lihat sama ada peluang untuk bekerjasama dengan pihak lain.
“Saya tidak tolak kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), ini formula yang telah digunakan di PRN Selangor dan PRN Pulau Pinang sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bas Mewah Generasi Baharu Luxury Coaches di Jalan Senai Jaya, Senai, di sini hari ini.
Pada PRN Johor 2022, BN Johor membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga selepas menang 40 daripada 56 kerusi manakala PH Johor berjaya memenangi 13 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) Johor pula menang tiga kerusi. – UTUSAN










