MCMC laksana penilaian teknologi cegah bawah 16 tahun guna media sosial

MCMC laksana penilaian teknologi cegah bawah 16 tahun guna media sosial

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan proses Medan Ujian Regulatori bagi menilai pendekatan teknologi yang sesuai untuk mencegah individu berumur bawah 16 tahun menggunakan media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, proses dengan kerjasama penyedia platform media sosial itu juga bertujuan memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap golongan kanak-kanak dalam persekitaran digital.

“MCMC bekerjasama dengan penyedia platform media sosial untuk menilai pendekatan teknologi yang sesuai. 

“Ini termasuk mekanisme pengesahan umur, pengesahsahihan entiti, penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan kandungan berisiko. Serta penambahbaikan mekanisme pengendalian aduan yang lebih pantas dan berkesan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai cadangan kerajaan untuk mengawal selia proses penentuan umur untuk platform-platform media sosial.

Nie Ching berkata, kewajipan untuk memastikan pengguna yang berumur 16 tahun ke bawah tidak menggunakan akaun media sosial akan diletakkan kepada penyedia platform media sosial selepas penilaian mekanisme pengesahan umur dan proses Medan Ujian Regulatori.

“Bagi kesalahan ketidakpatuhan mana-mana kewajipan di bawah Bahagian III Akta 866 termasuklah kewajipan untuk melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan memudaratkan.

“Selain itu, kewajipan untuk melindungi keselamatan dalam talian pengguna kanak-kanak dan kewajipan untuk mengadakan mekanisme bagi menjadikan kandungan memudaratkan prioriti tidak dapat diakses, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta,” katanya.

Dalam pada itu katanya, memang menjadi fokus utama MCMC untuk menilai dan menguji tahap kebolehlaksanaan mekanisme pengesahan umur pengguna oleh platform media sosial yang merangkumi pelbagai aspek penting termasuk keselamatan akaun pengguna, perlindungan data peribadi dan pertimbangan privasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN