KUALA LUMPUR: Peruntukan RM30 juta bagi Pelaksanaan Dana Inovasi Media tidak akan menjejaskan kebebasan media dalam melaporkan isu semasa, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata, sebaliknya peruntukan itu memperkukuh daya tahan industri media tempatan dalam menghadapi cabaran ekosistem digital.
Dana itu juga katanya, diperkenalkan bagi membantu organisasi media tempatan melakukan transformasi digital.
Katanya lagi, perubahan landskap pengiklanan yang kini banyak beralih kepada platform global seperti Google dan Meta, sekali gus menjejaskan pendapatan media tradisional.
“Hasrat pelaksanaan dana itu bukan untuk memastikan media sentiasa memuji atau memihak kepada kerajaan, sebaliknya bagi memastikan media tempatan kekal relevan dan mampu bersaing secara sihat dalam era digital.
“Dana ini tidak disertakan dengan syarat yang menjejaskan prinsip kewartawanan… seperti perlu memuji kerajaan sahaja. Saya mengikuti media tempatan dan mereka (pihak media tempatan) sangat kritikal terhadap apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Mereka tidak hanya puji-puji kerajaan semata-mata tetapi juga kritikal (mengkritik),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










