Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah siap Jun 

Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah siap Jun 

CHOW Kon Yeow (tengah) menyerahkan replika cek kepada penerima insentif pembaikan bangunan warisan kategori satu dalam tapak warisan dunia UNESCO dalam satu majlis di Komtar, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang baharu dijadual siap pada Jun tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada masa ini kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual.

”Perkembangan projek adalah 94 peratus pada masa ini, mungkin kita dapat buka galeri ini beberapa bulan lagi.

”Kita jangka pada bulan Jun ini projek dapat disiapkan, kita akan cuba laksanakan,” katanya selepas majlis penyerahan replika cek kepada penerima insentif pembaikan bangunan warisan kategori satu dalam tapak warisan dunia UNESCO, di Komtar, di sini hari ini.

Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang baharu dibina mendapat peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM10 juta pada 2021.

Galeri sedia ada yang dibina pada 2017 merupakan galeri sementara yang hanya dilengkapi dengan struktur berbumbung separa tetap dan terbuka.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, proses untuk membawa pulang khazanah rangka-rangka manusia yang ditemui di Guar Kepah yang kini disimpan di Belanda juga sedang giat dijalankan.

”Proses ini melibatkan banyak kertas kerja antara Malaysia dan Belanda yang perlu disempurnakan.

”Ia termasuklah pembentangan kepada Jemaah Menteri sebelum rangka ini dapat dibawa pulang untuk ditampilkan dalam Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, sebanyak 47 permohonan untuk mendapatkan insentif bangunan warisan telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan pemberian insentif pembaikan bangunan warisan kategori satu bernilai RM6.5 juta.

”Saya telah menerima maklumat daripada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bahawa sebanyak 76 permohonan telah diterima bagi insentif bangunan warisan kategori satu.

“Selain itu, sebanyak 437 permohonan telah diterima bagi insentif bangunan warisan kategori dua sepanjang tempoh permohonan pada 8 Januari  hingga 8 Mac lalu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN