PADANG BESAR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu diurus dengan lebih baik dalam memastikan agensi tersebut terus kekal relevan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Felda perlu memainkan peranan dengan melaksanakan tadbir urus yang baik seiring dengan keadaan semasa.
Katanya, agensi berkenaan juga perlu meninggalkan pengalaman lalu yang merugikan bagi membawa Felda lebih baik pada masa hadapan.
“Tadbir urus Felda yang baik bukan hanya terhad kepada pengurusan semata-mata tetapi membabitkan seluruh warga Felda di negara ini,” katanya sewaktu berucap pada majlis berbuka puasa Madani peringkat negeri ini di Felda Chuping, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia sememangnya mempunyai potensi besar namun segala tindakan dilakukan haruslah bermula dengan sikap dan pengurusan yang baik.
Anwar berkata, beliau sememangnya mengetahui terdapat pihak tertentu yang kurang senang apabila berbicara tentang soal tatakelola dan pengurusan yang baik.
“Tapi percayalah kalau kita tak ambil kesempatan ini, kita tak mampu mencapai kemajuan jauh lebih baik dari sekarang.
“Kadang-kadang kuasa itu memukau sehinggakan membuka ruang untuk mengubah kekayaan buat kepentingan diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak asalkan mereka memahami prinsip dan dasar yang dibawa dengan baik.
Tambahnya, setiap pihak terlibat perlu menggunakan peluang untuk bekerjasama demi kesejahteraan semua khususnya rakyat negara ini.
“Ini perkara yang perlu kita tegaskan untuk mengelak apa-apa kerosakan dan kecurangan di negara ini,” katanya.










