DSS 2024: Industri pertahanan negara perlu inovasi

DSS 2024: Industri pertahanan negara perlu inovasi

MUSTAPHA Sakmud bertemu pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Defense, Security and Sustainability (DSS) 2024, di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, di sini, hari ini.UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri tempatan perlu meningkatkan inovasi bagi menggalakkan pembekalan aset keluaran tempatan digunakan dalam sistem pertahanan negara secara menyeluruh tanpa bergantung kepada kepakaran luar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, industri tempatan perlu berupaya untuk berdikari tanpa bergantung kepada kepakaran luar dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara.

Tambah beliau, inovasi itu juga perlu melibatkan industri pertahanan bagi menggalakkan pembekalan aset keluaran tempatan digunakan dalam sistem pertahanan negara secara menyeluruh.

Justeru katanya, penganjuran pameran Pertahanan, Keselamatan dan Kemampanan (DSS) 2024 adalah penting untuk memberi peluang kepada para penyelidik dan pelajar mempamerkan kerja penyelidikan mereka.

“Ia juga memberi pendedahan dan inspirasi kepada penyelidik dalam menjana idea baharu yang berpotensi untuk digarap lanjut melalui keterlibatan pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan DSS 2024 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPNM, Prof. Dr. Azizi Miskon.

DSS 2024 adalah acara dwitahunan anjuran UPNM yang menyediakan platform untuk penyelidik membentang dan mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Ia juga bertujuan mempamerkan penyelidikan inovasi, produk dan perkhidmatan daripada beberapa institusi pengajian, agensi kerajaan dan pihak industri.

Tema `Human-Centered Discovery and Innovation’ menunjukkan pelbagai teknologi, ciptaan dan inovasi di luar jangkaan untuk manfaat manusia di peringkat tempatan dan global terutamanya dalam aspek keselamatan dan pertahanan.

Mustapha menambah, kewujudan UPNM dan institusi-institusi lain yang berkaitan adalah untuk menjana kepintaran, kepimpinan dan pendidikan dalam industri pertahanan.

“Faktor penghasilan inovasi berteraskan pertahanan sentiasa perlu dititik berat bagi mempersiapkan generasi masa hadapan untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

“Pihak KPT sentiasa bersedia berganding bahu dengan institusi serta pemain industri pertahanan tempatan terutamanya dalam menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan serta latihan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN