Dividen LTAT disifatkan kompetitif

Dividen LTAT disifatkan kompetitif

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Ketua Eksekutif LTAT Ashraf Radzi pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2023, di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebanyak lima peratus pada 2023 dilihat sebagai kompetitif jika berdasarkan keadaan pasaran semasa tahun lalu.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof berkata, dividen tahun kedua lima peratus berturut-turut itu boleh dianggap memberangsangkan terutamanya daripada pendeposit tetap.

“Kalau dibandingkan dengan kadar dividen 2018 hingga 2021 adalah di bawah lima peratus, jadi, dengan dividen dua tahun berturut-turut kadar dividen lima peratus ini mungkin boleh dapat mengembalikan kepercayaan pada LTAT,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Imran Yassin, LTAT perlu terus mengekalkan prestasi dan membuat pelaburan yang strategik serta memberi keuntungan kepada tabung dana tersebut.

“Jadi, LTAT perlu terus membuat pulangan memberangsangkan kepada tabung dan memberikan dividen yang kompetitif lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan pulangan yang di luar sana seperti deposit tetap.

“Sekurang-kurangnya LTAT perlu kompetitif berbanding yang ditawarkan oleh tabung perbankan, simpanan dan sebagainya,” katanya.

Pada 2020, LTAT mengumumkan dividen pada kadar 3.5 peratus, pada 2021 sebanyak 4.1 peratus manakala 2022 pada kadar lima peratus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendapatan bersih LTAT telah meningkat kepada RM537.80 juta pada 2023 daripada RM432.47 juta tahun sebelumnya yang merupakan peningkatan sebanyak 24 peratus.

Tahun 2023 merupakan kali kedua berturut-turut kadar dividen diisytiharkan sebanyak lima peratus.

Keuntungan terkumpul selepas dividen LTAT juga telah mula berkembang dengan lebih besar kepada RM756.81 juta berbanding RM498.7 juta pada 2022 yang merupakan peningkatan sebanyak 52 peratus.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengumuman tersebut meletakkan posisi LTAT di atas landasan yang baik di mata umum.

Katanya, pulangan lima peratus adalah lebih bermakna kerana ia selari dengan peratusan yang diumumkan oleh Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain seperti Tabung Haji (TH), Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Walaupun kadar lima peratus ini adalah sama seperti tahun 2022, jumlah pembayaran dividen adalah lebih tinggi iaitu RM485.05 juta berbanding RM476.45 juta tahun sebelumnya.

“Berdasarkan ekonomi semasa dan proses penstrukturan kumpulan yang sedang berlaku, LTAT dilihat berjaya melalui cabaran,” katanya.

Jelas Aimi Zulhazmi, LTAT turut memaklumkan proses penjualan anak syarikatnya, Affin Bank kepada kerajaan negeri Sarawak menunjukkan mereka serius dalam menstruktur semula kumpulan tersebut kerana Affin Bank merupakan antara aset yang bernilai.

“Penstrukturan LTAT juga melibatkan penyusunan semula pengurusan tertinggi yang turut meletakkannya pada landasan strategik serentak dengan penstrukturannya, justeru ia memudahkan perubahan dibuat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN