BANGI: Rumah Bangsa tidak terhad kepada usaha mengembalikan bekas ahli UMNO semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai platform terbuka untuk menarik penyertaan golongan muda.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Rumah Bangsa diwujudkan bagi memudahkan anak muda menyertai tanpa perlu melalui proses yang mungkin menjadi penghalang.
“Rumah Bangsa ini perlu difahami bukan sekadar untuk mengembalikan mereka yang pernah menjadi ahli UMNO, tetapi sebagai satu wadah yang memudahkan golongan muda untuk menyertai tanpa terikat dengan proses yang mungkin tidak menggalakkan.
“Kita juga mahu menjadikan Rumah Bangsa sebagai platform bagi sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan dan cadangan untuk memajukan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Barisan Nasional (BN) belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding secara solo atau menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Itu rahsia parti,” katanya. – UTUSAN










