SEPANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan ditandingi calon daripada DAP.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian mengenai calon itu malah UMNO juga tidak berminat meletakkan calonnya untuk bertanding.
“Saya rasa dalam formula PH tidak berubah soal meletakkan calon,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan galeri jualan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di sini semalam..
Ditanya mengenai keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk menang di kerusi itu, Amirudin berkata, keyakinan itu kerap disuarakan oleh mana-mana parti politik setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Mereka sudah lama yakin. Setiap kali masuk pilihan raya, mereka yakin,” katanya.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, pihaknya tidak ambil mudah dan akan bekerja keras untuk mencapai kemenangan dan meneruskan legasi kepimpinan ditinggalkan mendiang Lee Kee Hiong.
“Pilihan raya ini tidak akan memberi kesan kepada perubahan kerajaan negeri dan yang pentingnya kesinambungan hingga akhir penggal,” katanya.
Kerusi DUN Kuala Kubu kini kosong susulan kematian Kee Hiong selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar dilaporkan berkata, PN yakin mampu merampas kerusi Kuala Kubu Baharu yang menjadi milik DAP sejak 2013.
Menurutnya, keyakinan tersebut dibantu dengan komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus yang cukup mesra terhadap PN. – UTUSAN










