DAP keluar kerajaan tidak jejas pentadbiran Melaka

DAP keluar kerajaan tidak jejas pentadbiran Melaka

AB. Rauf Yusoh mengadakan sidang akhbar disertai beberapa Exco kerajaan negeri Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terjejas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP termasuk ADUN dari Parti Amanah Negara (Amanah) Adly Zahari memutuskan untuk menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri berkuatkuasa serta merta.

Menurutnya, ini kerana Barisan Nasional (BN) tidak pernah bergantung kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Beliau berkata, BN memperoleh mandat mencukupi untuk mentadbir negeri secara bersendirian dan kerjasama yang diwujudkan bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan hanyalah sebagai manifestasi semangat persefahaman yang dipraktikkan di peringkat Persekutuan.

“Sebenarnya, dalam pembentukan kerajaan Melaka selepas pilihan raya yang lepas, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendokong pembentukan kerajaan.

“Saya mengambil pendekatan supaya semangat persefahaman yang ada di Putrajaya turut diterjemahkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan bersama mana-mana parti. Kedudukan mereka lebih kepada melengkapkan semangat perpaduan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperuntukkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif diluluskan selepas dibacakan buat kali ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan majoriti 23 undi menyokong manakala lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP mengundi menolak.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Ab Rauf dan disokong Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas keputusan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, Ab Rauf berkata, keputusan itu adalah hak mutlak parti berkenaan dan beliau tidak berhasrat menghalangnya.

Katanya, sepanjang tempoh kerjasama itu, kerajaan negeri berjaya mengekalkan pentadbiran yang stabil, harmoni dan bebas daripada sebarang prasangka, sekali gus membuktikan keupayaan kerajaan BN mentadbir negeri dengan berkesan.

“Apa juga keputusan yang dibuat oleh rakan-rakan DAP, termasuk jika mereka menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mahu menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka.

“Keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak,” katanya sambil berseloroh sehingga mencetuskan gelak tawa pemberita.

Mengulas lanjut secara bersahaja, beliau berkata hubungan itu tidak pernah disandarkan kepada sebarang perjanjian rasmi.

“Kita tidak ada satu formal agreement yang menyebabkan kita boleh tuntut harta sepencarian. Kita bersanding tidak berpelamin,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN