Pindaan Perlembagaan lulus: Bersatu mahu kosongkan enam kerusi Parlimen

Pindaan Perlembagaan lulus: Bersatu mahu kosongkan enam kerusi Parlimen

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Armada Bersatu, Wah Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelulusan tersebut sekali gus membolehkan partinya mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen yang telah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Langkah seterusnya mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat Parlimen,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan memberikan sokongan mereka kepada Perdana Menteri tanpa meninggalkan parti masing-masing.

Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Susulan tindakan itu, pada 2 Mac lalu, Bersatu melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) meminda perlembagaan parti itu bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.

Pindaan membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Selain enam Ahli Parlimen itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga bekas Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengisytiharkan menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN