Beri ruang pemain import sesuaikan diri - Utusan Malaysia

Beri ruang pemain import sesuaikan diri

AKSI perlawanan persahabatan pra musim di antara Perak FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak semalam. - UTUSAN/PERAK FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Jurulatih Perak, Yusri Che Lah meminta penyokong Yob memberi ruang kepada pemainnya untuk melihat kebangkitan semula juara Piala Malaysia lapan kali itu musim ini.

“Bagi ruang kepada mereka untuk sesuaikan diri. Itulah sebab pentingnya perlawanan pra musim, mereka hanya mempunyai persediaan berbaki kurang tiga minggu sahaja.

“Macam pemain baharu yang kita ambil, Clayton Da Silveria Da Silva yang baharu sahaja tiba, dia perlu masa untuk mendapatkan rentak.

“Semua pemainpun begitu apabila menyertai pasukan baharu,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Perak yang berkesudahan tuan rumah menang tipis 1-0 di sini semalam.

Pengendali skuad The Bos Gaurus berasal dari Perlis itu juga menepis dakwaan segelintir peminat yang dilihat kurang senang apabila menandatangani bekas pemain kelab Hercilio Luz yang bermain dalam liga Divisyen 4 Brazil pada 2023.

“Liga di Brazil lebih kompetitif dan agak berbeza sedikit kerana di sana ada banyak liga atau divisyen yang amat susah kita nak terangkan tapi memang berbeza tahapnya.

“Clayton buat penampilan terakhir dengan kelab di Brazil pada 18 Mac 2024 di peringkat suku akhir sebelum datang ke Perak dan saya harap dia akan sesuaikan diri segera untuk kita mantapkan pasukan,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap Clayton dapat mempersiapkan diri kerana posisi itu amat penting selain menjadi antara penentu kepada prestasi pasukan pada musim ini.

“Dia ada hanya beberapa minggu sahaja untuk persiapkan diri dari segi mental, fizikal dan tahap kecergasan agar jentera pasukan dapat dipertajamkan.

“Saya ambil berat perkara ini serta kita akan cuba perkemaskan barisan pemain dan saya jangkakan beliau (Clayton) boleh beraksi pada aksi sulung Liga Super musim 2024/2025 menentang Terengganu di Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN