Baru rasa nikmat beraya itu - Dini Schatzmann - Utusan Malaysia

Baru rasa nikmat beraya itu – Dini Schatzmann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi pelakon, Dini Schatzmann pula, pastinya lebaran yang dirai di tanah asing berbeza rasanya berbanding Malaysia. Di sini, nikmat dan makna Aidilfitri itu sememangnya cukup terasa di nadinya.

Apatah lagi tahun ini adalah lebaran Dini dan isterinya yang juga pelakon, Janna Nick bersama. Jadi sudah semestinya, yang lebih diutamakan adalah keluarga baharunya. Itu lebih bermakna.

“Sebenarnya saya sangat teruja untuk pulang ke kampung halaman Janna di Kedah. Memang tahun ini, kami merancang untuk meraikan lebaran di sana. Boleh sahaja kami sambut syawal di Kuala Lumpur, tetapi di kampung lebih meriah.

“Saya juga memang tertunggu-tunggu untuk merasai kemeriahan beraya di kampung. Yelah, sudah bertahun-tahun hidup, selalunya bertemankan hutan konkrit tetapi tahun ini pastinya berbeza,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman beraya di luar negara, Dini yang dilahirkan dan dibesarkan di Switzerland itu tidak pernah merasai makna sebenar Aidilfitri sementelah rakan-rakannya tidak ramai mengerti makna lebaran.

“Kawan-kawan saya semua tak sambut lebaran. Apatah lagi, sekolah tak cuti pun. Jadi apalah erti raya kan, sebab kena pergi sekolah. Kalau tanya mana satu lagi seronok, mestilah di Malaysia.

“Tetapi di rumah tetap raya lebaran itu. Mama kana masak juadah raya dan paling penting ada duit raya! Ada juga rakan-rakan mama akan datang beraya, jadi suasana raya itu selalu di rumah sahaja.

“Bila saya beraya di sini, barulah tahu oh meriahnya beraya. Lagu-lagu raya sudah berkumandang. Orang pun sibuk membeli-belah, jadi kita dapat lihat semua teruja untuk sambut lebaran,” kongsinya.

Ditanya apakah makan wajib yang harus disediakan Janna di pagi raya, pelakon Malbatt: Misi Bakara itu sangat menggemari hidangan roti jala dan kari daging. Tak lengkap raya tanpa juadah tersebut baginya.

“Saya memang suka masakan tradisional lagi-lagi roti jala dengan kuah kari daging. Itu memang wajib. Tetapi juadah raya wajib macam biasa seperti rendang ayam, nasi impit dan kuah kacang memang wajib.

“Dulu saya pernah juga sambut lebaran di Dubai, tapi seronok sebab di sana, solat tarawih memang seronok. Setiap negara, pasti ada perbezaanya kan. Kemeriahan juga lain-lain, pelbagai budaya,” katanya.

Memilih warna burnt orange untuk tahun ini, Dini menyerahkan soal penyediaan dan persiapan lebaran kepada Janna kerana ketika ini dia sedang sibuk dengan penggambaran filem baharunya.

“Saya memang ikut sahaja pilihan Janna. Dia lebih arif dan seperti biasa, isteri always right. Lagipun kami akan beraya bersama keluarganya, jadi ada warna tema yang telah ditetapkan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×