SHAH ALAM: Bekas Ketua Polis Negara Ke-4, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar disifatkan oleh ahli keluarganya sebagai seorang patriotisme dan meletakkan kepentingan negara melebihi keluarga sendiri.
Menurut Anaknya, Abdul Rahmat Omar, tiada pesanan lain yang diberikan oleh allahyarham bapanya selain mengingatkan tentang kepentingan memperjuangkan keamanan dan kemerdekaan negara waima sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.
“Allahyarham bapa saya seorang yang sangat tegas, beliau adalah jenis orang yang meletakkan negara sebagai yang pertama dan keluarga pula kedua. Antara perbualan terakhir kami adalah berkenaan perang di Teluk Arab melibatkan Palestin, Iran dan Israel.
“Dalam perbualan tersebut kami bercakap berkenaan serangan antara Iran dan Israel, dan beliau berpesan kepada orang yang menjaga Malaysia kini supaya menjaga negara betul-betul,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, sikap patriotisme allahyarham bapanya itu cukup dikagumi sehingga sanggup berkorban meninggalkan keluarga terutama ketika ibunya, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid melahirkan kakak dan adik-adiknya.
“Pernah diceritakan kepada saya, ketika ibu melahirkan arwah kakak, allahyarham ketika itu sedang bertugas di Bangkok, Thailand. Malah, beliau juga tidak berkesempatan melihat saya dan adik-adik dilahirkan.
“Sehinggalah kami dewasa, ketika berkhidmat beliau meletakkan negara sebagai nombor satu. Bagaimanapun, kami sekeluarga amat memahami kerana jika beliau meninggalkan tugasnya bererti mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan jutaan rakyat,” jelasnya.
Malah, luahnya lagi, allahyarham, 85, juga selalu menceritakan detik-detik dialaminya sewaktu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama ketika menentang komunis dan mampu mengingati seorang demi seorang pegawai dan anggotanya yang menjadi hero ketika itu.
Dalam masa sama, Abdul Rahmat Omar yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu memaklumkan, bapanya sering mengingatkan anak-anak belajar tentang kesusahan hidup supaya mampu menghargai keamanan negara yang dikecapi pada hari ini.
“Allahyarham memang tegas dengan keluarga sebab pertama sekali kita kena belajar daripada kehidupan yang susah, kita tidak tahu berapa lama lagi kita boleh aman, kita hendak anak-anak nanti pandai hidup ketika susah.
“Selain itu beliau banyak bercerita mengenai perjuangan pasukan keselamatan terutama PDRM ketika menentang komunis. Allahyarham masih boleh ingat anggota-anggotanya yang menjadi hero berjuang dan meninggal dunia ketika menentang komunis.
“Kemudian, allahyarham juga berpesan kepada kami semua, supaya jaga keluarga dan jaga diri,” ujarnya. – UTUSAN










