KUALA LUMPUR: Tiga saksi yang sepatutnya dirakam keterangan berkaitan pemilikan bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 belum tampil memberi keterangan kepada pihak polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga individu berkenaan ialah rakan kepada pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu balak.
“Kita masih menunggu mereka tampil untuk dirakam percakapan namun mereka memberikan alasan berada di luar negara.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber wang tersebut yang didakwa untuk digunakan bagi perniagaannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara di sini hari ini.
Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada pukul 2.15 pagi tadi.
Sebelum ini, Hussein mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis pada 30 Mac selepas mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya.
Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan pada tahun lalu untuk tujuan pelaburan.
Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangan beliau direkodkan.
Pada 21 Mac lalu, media melaporkan satu bagasi berisi wang lebih RM500,000 di tempat letak kenderaan di sebuah pusat beli-belah oleh pihak pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit. – UTUSAN










