BANGKOK: Thai Airways menggantung penerimaan kargo masuk dan keluar selama tujuh hari di gudangnya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, berkuat kuasa 30 September hingga 6 Oktober 2026, selepas banjir menjejaskan kehadiran kakitangan dan menyebabkan lambakan barangan.
Lapangan Terbang Thailand (AOT) memaklumkan bahagian operasi kargo Thai Airways mengeluarkan notis penggantungan sementara itu pada Selasa.
Thai Airways berkata, banjir terus menjejaskan perjalanan kakitangan ke tempat kerja, menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak dapat hadir bertugas seperti biasa.
Kekurangan tenaga kerja susulan keadaan itu menjejaskan operasi gudang dengan ketara, sekali gus menyebabkan kelewatan dalam penyerahan barangan kepada pelanggan serta pemindahan penghantaran ke penerbangan yang dijadualkan.
Menurut Thai Airways, penggantungan itu membolehkan syarikat menguruskan gangguan berkenaan serta mengagihkan kakitangan dan sumber yang tersedia dengan sewajarnya, selain memastikan aspek keselamatan dan kecekapan operasi di gudang terus terpelihara.
Thai Airways berkata, langkah itu bertujuan memulihkan perkhidmatan kargo kepada operasi normal dan cekap secepat mungkin.
Syarikat itu memohon maaf atas kesulitan dan gangguan yang berlaku serta mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas kerjasama mereka.
Semalam penumpang melaporkan gangguan ketika penerbangan TG619 dari Chengdu ke Bangkok dan mengkritik Thai Airways susulan kelewatan berpanjangan sepanjang malam, dengan mendakwa tiada maklumat jelas diberikan mengenai waktu berlepas yang baharu.
Setibanya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, penumpang sekali lagi berdepan kelewatan untuk turun dari pesawat berikutan kekurangan kakitangan darat.
Masalah itu berterusan di terminal apabila penumpang terpaksa menunggu selama dua jam untuk mendapatkan bagasi dan tiada kakitangan syarikat penerbangan atau lapangan terbang dilaporkan berada di situ untuk memberikan maklumat serta bantuan.
Penumpang itu menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai ‘bencana Thai Airways’, selain mempersoalkan pengurusan syarikat penerbangan itu serta cara keseluruhan gangguan tersebut dikendalikan.-AGENSI











